KERJA-kerja penyelenggaraan ‘flushing’ sistem pembentungan bawah tanah di Taman Sri Nanding Hulu Langat dan kawasan sekitarnya yang terjejas serta tersumbat akibat banjir sedang giat dijalankan.
Baca berita berkaitan: [VIDEO] ‘Terpaksa buang air dalam plastik’, mangsa banjir Taman Sri Nanding rayu kerajaan atasi sistem kumbahan tersumbat
Pengurus Kanan Komunikasi Indah Water Konsortium (IWK), Shahrul Nizam Sulaiman berkata, kerja-kerja ‘flushing’ menggunakan paip air tekanan tinggi itu dijangka siap minggu ini.
“Keadaan itu dijangka memberikan keselesaan kepada pengguna di kawasan tersebut nanti,” katanya dalam mesej pesanan ringkas kepada SatuBerita pada Isnin.
Beliau diminta mengulas rayuan penduduk Taman Sri Nanding supaya segera menyelesaikan masalah sistem pembentungan di kawasan itu demi keselesaan dan kesihatan penduduk.
Dalam tinjauan SatuBerita baru-baru ini, terdapat penduduk memberitahu mereka terpaksa membuang air besar dalam plastik sebelum dibuang ke dalam tong sampah kerana sistem tandas sedia ada tidak boleh digunakan kerana tersumbat ekoran banjir besar baru-baru ini.
Shahrul Nizam berkata, ekoran banjir loji-loji IWK turut mengalami kerosakan teruk.
Bagaimanapun katanya, IWK dengan kerjasama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara telah membantu menyediakan sebanyak 30 tandas segera di PPS sekitar Lembah Klang dan Hulu Langat.
“IWK amat merasai kesan banjir dan berharap agar mangsa banjir dapat pergi ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
“Pihak IWK juga sedang menjalankan beberapa usaha untuk menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan di beberapa kawasan banjir,” jelasnya.
Bagaimanapun, kepada mereka yang menghadapi masalah pembetungan di kawasan perumahan yang terjejas, boleh hubungi segera talian perkhidmatan pelanggan IWK di www.iwk.com.my. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.