Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Kes baharu Covid-19 catat bawah 3,000 hari ini -

Kes baharu Covid-19 catat bawah 3,000 hari ini

JANGKITAN harian COVID-19 dalam negara kembali menurun ke paras bawah 3,000 apabila 2,882 kes baharu dicatatkan hari ini berbanding 3,386 kes semalam, menjadikan jumlah kumulatif kini 2,764,354.

Kali terakhir negara merekodkan jumlah kes COVID-19 bawah 3,000 adalah pada 28 Dis tahun lepas dengan 2,897 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah kes baharu itu, 49 kes adalah kategori tiga, empat dan lima, manakala bakinya adalah kategori satu dan dua iaitu tidak bergejala serta bergejala ringan.

“Sebanyak 284 kes memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) manakala 156 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 hari ini.

Beliau berkata bagi kes sembuh pula, sebanyak 3,291 kes dicatatkan menjadikan jumlah kumulatif pulih ialah 2,692,216.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 172 kes baharu varian yang membimbangkan (VOC) dilaporkan bagi tempoh 25 Dis 2021 hingga 2 Jan 2022, dengan 170 kes baharu varian Delta dan dua kes baharu varian Omicron.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan varian mempunyai kepentingan (VOI) adalah sebanyak 5,480 kes,” katanya.

Mengenai situasi semasa bencana banjir, Dr Noor Hisham memaklumkan sebanyak sembilan kes baharu COVID-19 dalam kalangan mangsa banjir, menjadikan jumlah keseluruhan 460 kes setakat ini.

Sementara itu, sebanyak 63 kes penyakit berjangkit yang dikesan dalam kalangan mangsa banjir melibatkan penyakit Jangkitan Saluran Pernafasan Akut (ARI) (42 kes), penyakit kulit (10) dan Gastroenteritis Akut (AGE) (11).