Perbincangan UMNO dan Pas tetap berjalan hadapi PRU-15

0
262

Oleh RIZQI ZABIDI

PERBINCANGAN antara UMNO dan PAS berhubung hala tuju kedua-dua parti itu pada pilihan raya umum akan datang, setakat ini terus berjalan termasuk menerusi pertemuan-pertemuan yang diadakan secara tidak formal.

Naib Presiden Pas, Senator Idris Ahmad malah menyatakan, pertemuan antara kedua-dua parti di setiap negeri akan diadakan berhubung perkara itu.

“Insya Allah (Setiap negeri ada pertemuan), perbincangan kita pada masa ini berjalan terus walaupun tak formal. Kadang-kadang sambil minum teh dan kita sembang berterusan mengenai perkara itu.

“Setakat sekarang ini memang kita tetap teruskan berbincang. Muafakat Nasional (MN) kita kukuhkan dan Perikatan Nasional (PN) pun kita kukuhkan.

“Yang tak mahu kukuhkan ini cuma Pakatan Harapan (PH) saja. Kalau PH, memang tak nak,” katanya.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan sesi dialog bersama guru-guru pondok negeri Kedah di Madrasah Ar-Rahmaniah, Pondok Tuan Guru Haji Salleh dekat Sik, hari ini.

Semalam Pesuruhjaya Pas Kelantan, Datuk Ahmad Yakob memaklumkan Pas negeri itu telah menetapkan 22 Januari depan sebagai sebagai tarikh pertemuan dengan UMNO Kelantan bagi membincangkan kerjasama antara kedua-dua parti dalam MN.

Begitu pun katanya, setakat semalam UMNO Kelantan belum memberi jawapan terhadap pertemuan tersebut.

Sementara itu Idris memaklumkan, keputusan sama ada rakyat negara ini terpaksa menangguhkan ibadah umrah berikutan penularan varian Omicron di Arab Saudi akan diputuskan setelah penilaian dibuat secara menyeluruh oleh Kementerian Kesihatan.

“Hal berkaitan umrah ini sebenarnya terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC). Namun perbincangan sentiasa berjalan antara Motac, Kementerian Kesihatan dan di pihak saya juga.

“Isu ini senstitif dan soa kesihatan perlu tanya pada orang yang lebih arif. Bergantung kepada budi bicara Kementerian Kesihatan,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut mengingatkan jemaah umrah yang baru pulang ke tanah air agar tidak menerima kunjungan tetamu selain mengelak daripada keluar rumah dan bersemuka dengan orang ramai.

“Kalau mereka sihat, Alhamdulillah tetapi jika mereka tak sihat, tidaklah penyakit itu menular kepada orang lain.

“Mungkin mereka boleh buat ujian kendiri Covid-19 dan jika mampu, buat setiap hari pun lagi baik untuk tempoh tertentu selepas balik dari umrah,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here