[VIDEO] Muhyiddin tunai janji, 2 keluarga terima rumah kontena semalam dan hari ini

MEMAHAMI keperluan yang amat mendesak mangsa banjir di Hulu Langat untuk mendapatkan tempat berteduh sementara, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin memastikan janji untuk menyediakan dua unit rumah kontena bagi kegunaan dua keluarga yang kehilangan rumah akibat banjir dikotakan tanpa berlengah pada Rabu.

Dua unit kontena yang diumumkan oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Selasa itu masing-masing telah tiba dan siap dipasang sepenuhnya pada hari ini.

Kedua-dua unit rumah kontena sumbangan Skuad Prihatin Bersatu itu akan digunakan sebagai penempatan sementara bagi dua buah keluarga mangsa banjir yang berada di Kampung Jawa dan Kampung Sungai Lui, Hulu Langat.

“Saya berharap sumbangan berkenaan dapat meringankan sedikit beban kepada keluarga terlibat yang kehilangan tempat berlindung dalam sekelip mata minggu lalu.

MUHYIDDIN (dua dari kanan) menyantuni dan menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Hulu Langat pada Rabu. – Foto FB MUHYIDDIN YASSIN

“Skuad Prihatin Bersatu akan meneruskan misi bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di seluruh negara dengan tumpuan kepada kerja-kerja membersihkan rumah dan memberi bantuan berupa barangan makanan harian, peralatan keperluan dapur serta barangan keperluan bayi dan kanak-kanak,” kata Muhyiddin dalam hantaran laman Facebook rasminya hari ini.

Jelas Pengerusi Majlis Pemulihan Negara itu, dana yang diterima oleh Tabung Bencana Banjir Bersatu yang dilancarkan pada Perhimpunan Agung Tahunan BERSATU baru-baru ini telah digunakan untuk membantu mangsa-mangsa terlibat.

MUHYIDDIN (tiga dari kanan) ketika menyantuni dan menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Hulu Langat pada Rabu. – Foto FB MUHYIDDIN YASSIN

Selain itu tabung tersebut turut menerima sumbangan daripada orang perseorangan dan para dermawan lain.

Muhyiddin turut menyeru semua pihak membantu dan menyumbang dalam apa cara cara dan bentuk sekali pun yang termampu bagi membantu mangsa bancana alam ini membina kembali kehidupan mereka terutama selepas banjir berakhir.

MUHYIDDIN ketika menyantuni dan menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Hulu Langat pada Rabu. – Foto FB MUHYIDDIN YASSIN

Beliau dalam masa sama mengucapkan penghargaan kepada para sukarelawan dan petugas barisan hadapan dan menyeru mereka untuk meneruskan kerja-kerja murni ini selain mendoakan mereka dilindungi dan diberkati Allah SWT. – SB