Keputusan Anthony tidak mengejutkan – Shafie Apdal

0
446

PRESIDEN WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menegaskan keputusan Datuk Peter Anthony keluar daripada parti itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan. 

Namun, katanya tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap yang juga bekas Naib Presiden WARISAN itu yang mahu menubuhkan parti tempatan pelbagai kaum dijangka memecahbelahkan perpaduan rakyat di Sabah.

Mohd Shafie dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, berkata beliau bersimpati dengan Anthony kerana sudah beberapa kali menyatakan hasratnya berikutan kes mahkamah yang dihadapinya.

“Keputusan Peter (Anthony) untuk menubuhkan sebuah lagi parti pelbagai kaum yang bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hanya akan memecahbelahkan lagi rakyat Sabah dan masyarakat di pedalaman.

“Tindakan ADUN Limbahau, Datuk Juil Nuatim, juga mendukacitakan kerana terpengaruh dengan Peter (Anthony) yang menyebabkannya mengambil keputusan tergesa-gesa,” katanya. 

Sementara itu, Mohd Shafie menyifatkan hasrat Anthony menubuhkan parti baharu tempatan pelbagai kaum bercanggah dengan tindakannya ingin menyertai kerajaan negeri yang terdiri daripada parti nasional.

“Dalam sidang media, Peter (Anthony) berkata sesebuah negeri patut ditadbir oleh parti politik setempat menurut negeri masing-masing.

“Bagaimanapun ini bercanggah dengan tindakannya untuk menyertai GRS yang terdiri daripada parti nasional dan parti tempatan,” katanya.

Mohd Shafie turut menafikan kenyataan Anthony yang menyatakan parti WARISAN telah jauh tersasar dari perjuangan asal apabila melebarkan sayap ke Semenanjung Malaysia.

“Sejak ditubuhkan, WARISAN lantang bersuara memperjuangkan hak Sabah dan Sarawak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 sehinggalah pindaan Perlembagaan dilaksanakan baru-baru ini untuk mengembalikan status sebagai rakan sekutu Semenanjung.

“Alasan untuk keluar parti kerana WARISAN tersasar dari perjuangan asal hanya kerana melebarkan sayap ke Semenanjung, adalah tidak benar.

“Ini kerana pada mesyuarat Majlis Tertinggi sebelum ini dan Perhimpunan Agung Tahunan Parti Warisan (2020) pada 12 Disember lalu, seluruh ahli majlis tertinggi dan ahli parti menyokong penuh langkah itu pada perhimpunan itu.

“Keputusan untuk melebarkan WARISAN ke Semenanjung adalah satu langkah untuk menawarkan satu lagi pilihan kepada semua pengundi di Malaysia,” katanya.

Semalam, media melaporkan Anthony mengumumkan keluar dari parti WARISAN bagi menubuhkan sebuah parti baharu tempatan.

Katanya, parti baharu yang bakal ditubuhkan itu adalah sebuah parti mesra Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang akan menyokong kerajaan negeri.

Anthony dan Juil adalah ADUN WARISAN seterusnya yang keluar dari parti selepas ADUN Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir; ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob dan ADUN Segama, Datuk Mohamaddin Ketapi. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here