185 penyakit berjangkit babitkan mangsa banjir

0
419

SEBANYAK 185 kes penyakit berjangkit dikesan dalam kalangan mangsa banjir di Kelantan, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kes membabitkan empat jenis penyakit berjangkit, iaitu jangkitan saluran pernafasan akut (ARI), penyakit kulit, ‘acute gastroenteritis’ (AGE) dan konjunktivitis.

Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak 103 adalah ARI, penyakit kulit (52), AGE (22) dan konjunktivitis (8).

Bagi kes positif COVID-19 dalam kalangan mangsa banjir, beliau memaklumkan, sebanyak 409 kes dilaporkan, namun tiada kes positif di pusat pemindahan sementara (PPS).

“Sebanyak 256 PPS membabitkan 41,819 mangsa di lima negeri berkenaan masih beroperasi sehingga jam 3 petang tadi. Mangsa banjir dinasihatkan supaya memaklumkan status risiko COVID-19 kepada anggota penyelamat sekiranya disahkan positif, dikenal pasti kontak rapat.

“Ia supaya tindakan sewajarnya dapat diambil semasa proses pemindahan dan penyelamatan dibuat. 

“Mangsa banjir juga diminta patuh prosedur operasi standard (SOP) dan amalan norma baharu semasa proses pemindahan dan sepanjang tempoh berada di PPS,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menasihatkan elak perkumpulan ramai semasa di PPS, selain memakai pelindung diri semasa operasi memindahkan mangsa banjir dan sewaktu melakukan proses pembersihan pasca banjir selain memastikan kebersihan diri terjaga dengan segera membersihkan badan terkena air banjir.

“Elak bermain atau meredah air banjir, elak minum air serta makan makanan tercemar. 

“Jaga kebersihan kawasan PPS bagi mengelak penyakit bawaan vektor dan sekiranya bergejala, segera dapatkan rawatan di klinik atau hospital berhampiran terutama individu berisiko tinggi seperti warga emas, kanak-kanak, wanita hamil dan individu mempunyai komorbiditi.

“Petugas perubatan di semua fasiliti kesihatan perlu lebih berwaspada akan gejala-gejala penyakit,” katanya. 

Tegasnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa memantau dan menjalankan aktiviti kawalan dan pencegahan sebaik-baiknya supaya penyakit berjangkit akibat banjir selain COVID-19 dapat dibendung. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here