KES Covid-19 seluruh negara kekal mencatatkan angka melebihi 3,500 selepas merekodkan 3,528 jangkitan hari ini.
Jumlah yang dicatatkan hari ini bagaimanapun naik sedikit berbanding 3,510 yang direkodkan semalam.
Kadar berkenaan sekali gus menyaksikan statistik kes jangkitan Covid-19 kekal lebih 3,500 buat hari ketiga berturut-turut.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kadar yang dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes telah pun mencecah 2.735 juta setakat ini.
“Pada 24 Disember 2021, jumlah kes COVID-19 yang dilaporkan adalah 3,528 kes menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 2,735,241 kes.
“Maklumat terperinci akan dimuatnaik ke laman COVIDNOW: https://covidnow.moh.gov.my
“Data harian laman COVIDNOW dikemaskini sekali gus selepas tengah malam,” katanya dalam media sosial pada Jumaat.
Baca artikel berkaitan: 3,510 kes Covid-19 hari ini, turun sembilan jangkitan
Dalam ciapan berasingan, Dr. Noor Hisham turut berkongsi kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau nilai R-naught (Rt) berdasarkan kes semalam.
Berdasarkan data yang dikongsikan, nilai Rt didapati kembali menurun kepada 0.90.
Semua negeri turut merekodkan kadar kebolehjangkitan di bawah 1.00 dengan Terengganu tertinggi pada kadar 0.99.
Ia diikuti Johor 0.96 serta Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Perak dan Putrajaya yang masing-masing mencatatkan 0.94.
Kadar kebolehjangkitan terendah dicatatkan di Sarawak iaitu 0.74. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.