Baby Shima jual baju sendiri kumpul dana bantu mangsa banjir

TIDAK mampu berdiam diri dan melihat sahaja mangsa banjir berdepan dengan seribu satu kesukaran, penyanyi Baby Shima memilih untuk menjual baju miliknya bagi membantu mereka.

Dia yang kini berada di Johor menggunakan aplikasi TikTok sebagai medium untuk menjual pakaiannya seterusnya mengumpulkan dana untuk diagihkan kepada mereka yang memerlukan.

“Ini sahaja cara yang boleh saya lakukan untuk membatu mereka yang terjejas terutama mereka yang berada di Shah Alam dan Klang.

“Nak turun ke lokasi bencana masih belum berkesempatan kerana saya kini berada di kampung, jadi saya gunakan live di TikTok sejak dua hari lepas dengan menjual koleksi baju kesayangan.

“Banyak baju yang pernah dipakai saya jual malah beberapa helai sweater yang masih baru belum sempat pakai pun saya jual. Terpulang kepada pengikut nak bayar berapa untuk setiap baju, kalau setuju dengan harga itu baru kita jual,” katanya.

Dalam pada itu, Baby Shima gembira apabila berjaya mengumpul sejumlah duit melalui sesi penjualan tersebut.

Paling mengharukan apabila usahanya itu dipermudahkan dengan sambutan hangat daripada peminat yang mahu bersama-samanya beramal.

“Walaupun tak dapat turun padang melihat sendiri kesukaran mereka, tapi dengan menggunakan media sosial yang saya ada akhirnya dapat juga membantu dari jauh,” tambahnya lagi.

Dengan adanya wang tersebut, Baby Shima akan menyerahkan kutipan kelab peminatnya untuk diagih-agihkan kepada mereka yang terjejas.

“Mungkin kami akan beri wang tunai untuk mereka gunakan mengikut keperluan masing-masing.

“Walaupun tak banyak, tapi sekurang-kurangnya dapat membantu mereka berdepan situasi ini bersama,” tambahnya lagi. – SB