[VIDEO] Amaran sudah diberikan, kesedaran awam masih kurang – Pakar

0
515

BENCANA banjir yang melanda negara pada Sabtu lalu menjadi pengajaran penting betapa pentingnya untuk semua pihak untuk cakna terhadap amaran cuaca yang dikeluarkan oleh pihak berwajib.

Impak yang amat buruk daripada bencana berkenaan mungkin jika tidak dapat dielakkan sepenuhnya, dapat diminimakan melalui persiapan-persiapan yang perlu oleh pihak berkuasa dan orang ramai.

Menurut Pakar Meteorologi Univerisiti Malaya, Dr. Sheeba Chenoli berkata, amaran mengenai hujan luar biasa yang disifatkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air, Dr. Zaini Ujang bahawa purata taburan hujan pada hari itu bersamaan dengan purata hujan selama sebulan itu telah pun diberikan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia pada 12 Disember lalu

Amaran tersebut kata Dr. Sheeba, dikeluarkan selepas membuat pemerhatian terhadap pergerakan Taufan Rai yang telah melanda Filipina pada 16 Disember lalu.

“Jabatan Meteorologi Malaysia telah memberikan amaran lebih awal kerana mereka sedang memerhati dengan rapat pergerakan Taufan Rai. Kemudian kita menyedari sedikit tempias daripada Taufan Rai sedang menuju ke arah negara ini,” katanya ketika dihubungi SatuBerita.

Beliau menambah, ramalan akan berlakunya hujan lebat berterusan akibat Taufan Rai ini sangat mudah dikesan kerana beberapa negera lain seperti Thailand dan Hong Kong juga sedang memerhati rapat pergerakan taufan berkenaan sekaligus amaran awal telah dikeluarkan.

“Jadi, apabila Meteorologi Malaysia memberikan amaran akan berlakunya hujan lebat berterusan, orang ramai tidak faham akan perkara itu. Mereka lebih tertarik kepada informasi seperti adakah akan berlaku banjir di kawasan mereka.

“Manakala negara-negara lain sudah mula mengamalkan gaya yang dikenali sebagai Amaran Berlandaskan Impak (Impact Oriented Warning) yang mana amaran itu sekaligus dengan jelas memberitahu tahap keseriusan impak yang bakal berlaku kepada orang ramai apabila ia dikeluarkan. Kalau kita juga boleh amalkan cara ini, saya rasa tindakan boleh diambil dengan lebih cepat,” ulasnya.

Katanya, bagi menjayakan perkara ini, kesedaran orang ramai mengenai persiapan menghadapi bencana adalah amat penting dan pihak berkuasa atau kerajaan perlu melaksanakan sesuatu bagi meningkatkan kesedaran awam.

“Adalah penting untuk meningkatkan kesedaran orang ramai. Mereka perlu didedahkan dengan perkara dan tindakan yang perlu dilakukan setelah amaran bencana dikeluarkan. Mungkin perlu ada garis panduan tentang perkara ini.

“Seperti contoh di negara luar seperti Hong Kong, di sekolah mereka mempunyai latihan bencana sepertimana latihan kebakaran kerana banyak berlaku taufan di sana. Jadi, pihak berkuasa perlu lakukan sesuatu untuk bantu meningkatkan kesedaran awam apabila bencana mendatang,” ulasnya.

Mengulas lanjut, Sheeba berkata, Taufan Rai yang sedang menuju ke arah Hong Kong pada minggu lalu telah menyebabkan pergerakan angin ke arah Malaysia semakin kuat sedikit sebanyak menjadi punca hujan lebat berterusan di negara ini.

Antara faktor lain kepada kejadian hujan lebat berterusan beberapa hari lalu adalah disebabkan fenomena ‘tropical depression’ atau lekukan tropika yang terbentuk di Laut China Selatan.

“Kebiasaannya kita ada ribut petir yang hanya menyebabkan hujan lebat yang berakhir dalam satu hingga dua jam sahaja. Manakala, sistem tekanan rendah yang disebabkan oleh lekukan tropika ini pula boleh bertahan lebih lama daripada ribut petir yang biasa,” katanya.–SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here