HUJAN dari malam tadi telah menyebabkan paras air naik di sekitar kawasan Shah Alam, Selangor terutamanya di Batu Tiga yang telah mengundang kebimbangan orang ramai.
Baca berita berkaitan: [VIDEO] Bukit Jelutong kembali banjir
Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah mengeluarkan beberapa notis berjaga-jaga dengan kenaikan paras air di sekitar Shah Alam susulan hujan lebat pagi ini.
“Paras air sedang meningkat naik di Batu Tiga (berhadapan Kilang Central Sugars).
“Mohon orang ramai untuk mengelak melalui kawasan tersebut dan berhati-hati semasa berada di atas jalan raya,” katanya menerusi perkongsian di Facebook rasmi MBSA pada Rabu.
Oleh itu, MBSA meminta orang ramai supaya berwaspada dan mengelak daripada menggunakan laluan tersebut.
MBSA juga mengingatkan orang ramai sekiranya terdapat sebarang kecemasan atau memerlukan bantuan segera di Shah Alam untuk menghubungi 03-55105811.
Selain itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) turut mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa kawasan negeri Selangor terutamanya di Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Petaling, Kuala Langat dan Sepang.
Malah, terdapat kawasan yang sebelum ini telah surut selepas dilanda banjir seperti di Bukit Jelutong kembali dinaiki air terutama dekat susur ke Plaza Tol Shah Alam dari Lebuhraya Guthrie. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.