HUJAN lebat yang disusuli banjir tidak langsung mematahkan semangat beberapa insan mulia yang sanggup datang dari jauh untuk menghulur bantuan kepada mangsa yang terkandas.

Situasi banjir di Selangor yang meruncingkan terutamanya di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam, Selangor telah membuatkan seorang insan yang dikenali sebagai Azura Manas, 37, dan suaminya, Mohd. Amli Mohd. Mohiyadeen, 35, bertolak dari Perak ke lokasi banjir bagi menyelamat dan menghulur bantuan kepada mereka yang terkesan.

Menurut Azura Manas, sebaik mereka tiba di Taman Sri Muda pada pukul 5 petang semalam, terdapat hanya dua bot termasuk bot mereka yang berada di lokasi.
“Semasa saya tiba di lokasi, mangsa-mangsa banjir masih tersekat di rumah masing-masing sebab air naik terlalu cepat dan mereka tidak sempat untuk keluar.
“Kalau tengok dekat sini kereta memang semuanya hanyut,” katanya ketika dihubungi SatuBerita.

Katanya lagi, dia dan suami ke Taman Sri Muda kerana ramai kenalan di sana yang meminta bantuan mereka yang mempunyai bot untuk meredah banjir.
“Dari pukul 5 petang semalam sampai pukul 12:30 tengah hari ini kami masih menyelamat. Sekarang kami berhenti sekejap untuk makan dan akan sambung menyelamat selepas ini,” katanya.
Azura juga sempat menceritakan keadaan mangsa banjir yang ditemui terkandas di dalam rumah selepas air mula naik dalam sekelip mata.

“Malam tadi ada seorang wanita mengandung yang dah nak melahirkan anak dan ada juga warga emas dan bayi yang asma.
“Kami selamatkan yang kritikal dahulu. Mana yang masih muda dan sihat tubuh badan kami biarkan dulu untuk diselamatkan kemudian,” jelasnya.

Namun bagaimanapun, Azura tidak sempat untuk bercerita pengalamannya dengan lebih terperinci akibat sambungan talian yang tidak stabil.
Setakat ini, Azura sedang berada di sekitar Seksyen 25 Shah Alam bagi proses menyelamat mangsa-mangsa di kawasan tersebut.
Menurutnya, air sudah mula surut di kawasan tersebut tetapi masih ramai lagi yang masih tersekat di dalam rumah terutamanya mereka yang mempunyai anak kecil.
Azura dan suaminya juga memanggil seramai mungkin kumpulan memancing dan kumpulan Rafting Gopeng yang mempunyai bot untuk turun padang menghulurkan tangan.

“Geng Rafting Gopeng juga sertai misi kami. Menggunakan pendayung untuk sampaikan bantuan makanan dan menyelamatkan bayi.
“Kami tiada wang ringgit untuk kami sumbang tapi kami sumbang kudrat untuk mangsa banjir bersama rakan-rakan memancing,” katanya.

Kesungguhan Azura Manas yang turun padang membantu mangsa banjir bersama suaminya itu mendapat pujian netizen yang memuji langkah berani mereka. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.