Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
HOSPITAL Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru bagi merawat pesakit Covid-19 ditamatkan operasinya secara rasmi pada 16 Disember lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R. Vidyananthan berkata, penutupan itu dibuat setelah beroperasi selama enam bulan sejak 6 Jun 2021.
Menurut beliau, dalam tempoh tersebut, Hospital Medan berkenaan telah memberi rawatan kepada seramai 1,592 pesakit Covid-19.
“Hospital Medan ATM HSAJB telah diaktifkan menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Johor dengan kerjasama ATM pada 6 Jun 2021 dan mula menerima pesakit Covid-19 pada 21 Jun 2021.
“Hospital Medan yang terletak di pekarangan HSAJB ini mempunyai kapasiti sebanyak 60 katil wad dan 4 katil unit rawatan rapi (ICU) sebelum 16 katil ditambah untuk menampung bilangan kemasukan pesakit yang tinggi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, sepanjang tempoh pengoperasiannya, hospital berkenaan dikendalikan seramai 70 anggota ATM dan 74 kakitangan HSAJB.
“Kerjasama yang baik telah dipamerkan pelbagai agensi dalam penubuhan dan pengoperasian hospital ini.
“Sehubungan itu, kerajaan negeri menyampaikan penghargaan dan tahniah kepada semua barisan hadapan dan agensi terlibat dalam menjayakan pengoperasian Hospital Medan ATM HSAJB ini,” ujarnya.
Tambah beliau, ucapan penghargaan juga diberi kepada pelbagai pihak yang telah memberi sumbangan kepada Hospital Medan ini sepanjang temph pengoperasiannya. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.