
SEBAGAI anak kepada bekas Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem, calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12) amat dikenali oleh penduduk tempatan.
Penganalisis politik Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi berkata, walaupun hanya berusia 30 tahun, Azizul Anuar amat dikenali oleh penduduk tempatan bukan sahaja kerana beliau anak Allahyarham Adenan tetapi juga kerana keterlibatannya dalam politik tempatan.
Calon GPS itu merupakan Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Tanjong Datu.
“Azizul (Anuar) cukup dikenali di kawasan Tanjong Datu sejak era ayahnya mewakili kawasan itu, kemudian diteruskan oleh ibunya Puan Sri Jamilah Anu yang dipilih (sebagai wakil rakyat DUN Tanjong Datu) selepas memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 2017.
“Legasi Tok Nan kemudian diteruskan oleh isterinya Jamilah Anu yang telah membawa banyak perubahan besar terutama dari segi pembangunan infrastruktur dengan siapnya jalan penghubung Pan Borneo ke Telok Melano serta pelbagai kemudahan lain,” katanya kepada Bernama.
Azizul Anuar akan ditentang oleh Goem Pijar daripada Parti Bumi Kenyalang (PBK), Jeryin Pauzi daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan Abdul Talip Ba’ee (Bebas).
PRN11 pada 2016 menyaksikan Allahyarham Adenan, yang mesra disapa ‘Tok Nan,’ menjadi wakil rakyat kawasan Tanjong Datu dengan mewakili Barisan Nasional (BN) untuk penggal ketiga.
Susulan kematian Adenan pada 11 Jan 2017, PRK diadakan dengan Jamilah dipilih bertanding mewakili BN dan berjaya memenangi kerusi itu.
Awang Azman juga berkata beliau yakin peluang Azizul Anuar untuk menang di kerusi itu lebih tinggi berbanding calon PSB dan PBK.
“Ini kerana PBB mempunyai jentera yang lengkap, menyeluruh dan bersepadu. Dari segi jumlah keahlian, PBB juga lebih besar berbanding keahlian PSB dan PBK, parti yang masih baharu serta kurang keahlian,” katanya.
Penganalisis politik Universiti Putra Malaysia Profesor Datuk Dr Jayum Jawan pula berkata DUN Tanjong Datu adalah kerusi majoriti Melayu yang tidak pernah ditawan oleh mana-mana parti selain PBB.
- Bernama
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.