Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Bayi cedera kepala dan muka, mungkin dilanggar kereta bapa -

Bayi cedera kepala dan muka, mungkin dilanggar kereta bapa

Oleh RIZQI ZABIDI

SEORANG bayi berusia setahun mengalami kecederaan di kepala disyaki akibat dilanggar bapanya ketika mengundurkan kereta di Alor Setar, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Datuk S. Suresh Kumar berkata, kejadian itu dilaporkan oleh kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) setelah bayi tersebut dibawa untuk mendapat rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Menurutnya, kira-kira pukul 10.56 malam tadi, seorang pegawai perubatan di hospital tersebut membuat laporan kepada pihak polis mengenai kecederaan dialami bayi tersebut.

“Pada awalnya, bayi itu didakwa cedera di bahagian kepala termasuk melecet di muka kerana ditendang lembu ketika bermain di luar rumah.

“Bagaimanapun siasatan pihak polis mendapati mangsa telah dilanggar oleh bapanya ketika mengundur kereta di kediaman mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Tambahnya, bayi tersebut kini berada dalam keadaan stabil dan masih di bawah pengawasan unit rawatan rapi (ICU) HSB.

“Berikutan itu, bapa mangsa yang merupakan seorang warganegara asing ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk siasatan lanjut.

“Siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang mana jika sabit kesalahan, individu terlibat boleh dihukum penjara tidak lebih 10 tahun, denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut turut dijalankan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana bapa bayi tersebut disyaki tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.