
KEPUTUSAN ujian Polymerase Chain Reaction (PCR) Genotyping Assay ke atas 18 individu warga tempatan yang disyaki dijangkiti varian Omicron akan diketahui esok.
Kesemua mereka merupakan rakyat tempatan yang telah kembali ke Malaysia selepas mengembara ke luar negara dalam tempoh 6 hingga 10 Disember lepas.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin ketika mengumumkan perkara ini berkata, pihak Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengambil 52 sampel daripada mereka untuk diuji oleh Intitut Penyelidikan Perubatan (IMR).
“KKM juga ingin memaklumkan bahawa hasil ujian PCR Genotyping Assay yang dijalankan, sebanyak 18 kes lagi menunjukkan kemungkinan varian Omicron dan kini sedang menunggu keputusan pengesahan daripada jujukan jujukan genom penuh (WGS) yang dilakukan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu pada Khamis, Khairy mengumumkan kes pertama varian Omicron yang melibatkan rakyat Malaysia yang merupakan seorang kanak-kanak perempuan berusia 8 tahun setelah keputusan ujian ke atas kes itu dikeluarkan.
Baca berita berkaitan: Kanak-kanak 8 tahun rakyat Malaysia pertama dijangkiti Omicron
Khairy berkata, keputusan penuh kepada 18 kes berkemungkinan varian Omicron itu dijangka akan diperoleh esok, 17 Disember 2021.
Menurutnya lagi, IMR mula menjalankan ujian PCR Genotyping Assay ke atas semua sampel positif Covid-19 yang disaring di pintu masuk antarabangsa di KLIA sejak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan Omicron sebagai VoC.
Katanya, ujian PCR itu dilakukan bagi mendapatkan keputusan awal jenis varian Covid-19, dan mana-mana sampel yang menunjukkan kemungkinan varian Omicron perlu dilakukan WGS untuk pengesahan varian berkenaan.–SB