Perolehan ETS Gemas-JB: CRM tawar penurunan 22 peratus

0
422

KERAJAAN melantik syarikat CRRC Rolling Stock (Malaysia) Sdn Bhd (CRM) bagi perolehan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) satu set enam gerabak yang baharu selepas syarikat itu menawarkan penurunan harga sebanyak 22 peratus.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata penurunan harga tersebut telah memberi penjimatan kira-kira RM80 juta kepada kerajaan.

“Terdapat tiga syarikat tempatan sahaja yang berdaftar dengan Kementerian Kewangan (MOF) melalui kod bidang pembuatan, namun hanya dua syarikat pembuatan tempatan sahaja yang aktif di dalam pembuatan dan pemasangan rolling stocks atau pengangkutan rel termasuk syarikat luar yang telah melabur dan membina kilang mereka di Malaysia,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Anthony Loke Siew Fook (PH-Seremban) mengenai butiran terperinci perolehan rolling stocks untuk perkhidmatan ETS Gemas-Johor Bahru termasuk kos perolehan, syarikat pembekal, kaedah perolehan dan butiran lain.

Mengulas lanjut, Wee berkata kerajaan melalui Unit Perancang Ekonomi pada 30 Okt 2017 telah meluluskan perolehan rolling stocks ETS Gemas-Johor Bahru dengan kos keseluruhan projek sebanyak RM587 juta. 

Beliau berkata bagi menyokong pelan perkhidmatan ETS secara keseluruhan dan selaras dengan penyiapan Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru yang dijangka pada Jun 2023, satu pelawaan tender telah dimuat naik ke laman sesawang Kementerian Pengangkutan pada 23 Jan 2020 dan satu taklimat tender diadakan pada 3 Feb 2020.

Beliau berkata 29 syarikat tempatan telah hadir semasa taklimat tender tersebut dan 17 syarikat membeli dokumen tender.

Proses penilaian kewangan dan teknikal telah bermula antara 18 Mei 2020 dan berakhir pada 5 Jun 2020.

“Berdasarkan kepada skop dan kos yang ditetapkan, hanya tiga buah syarikat sahaja yang mengambil bahagian di dalam proses tender perolehan ini.

“Satu laporan penilaian tender perolehan ini telah dibentang kepada Lembaga Perolehan Kementerian Pengangkutan yang telah bersidang pada 23 Jun 2020, namun tiada petender yang lulus bagi kedua-dua penilaian kewangan dan teknikal di dalam perolehan ini,” katanya.

Wee berkata satu semakan dan kajian pasaran telah dilaksanakan semula bagi meniliti keperluan sebenar dan daripada itu, hanya tiga syarikat tempatan sahaja yang berdaftar dengan MOF melalui kod bidang pembuatan. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here