Demi menjayakan watak, apa sahaja sanggup dilakukan oleh pelakon wanita yang satu ini asalkan tidak berlebihan.
Dia yang kini tampil dengan rambut berwarna perang menganggap semua ini dilakukan demi tuntutan watak sebagai Hanim dalam drama Khilaf Asmara yang sedang dalam proses penggambaran.
“Kalau nak tahu seumur hidup saya tak pernah lagi warnakan rambut perang macam ni dan memang rasa tak selesa, cuma pengarah yang minta supaya saya nampak berbeza.
“Malah, ini juga pengalaman pertama saya melunturkan rambut (bleach) dan pada mulanya saya memang tak boleh terima sampai malu nak keluar rumah.
“Apa pun lepas tamat penggambaran drama ini, saya akan kembali hitamkan semula rambut,” isteri kepada pelakon Aidil Aziz ini.
Jelasnya, perkara tersebut bukanlah satu masalah besar untuk dilakukan asalkan tidak berlebihan. Fasha mengakui boleh melakukan apa sahaja demi tuntutan watak seterusnya menghidupkan jalan cerita.
“Memang rasa tidak selesa dan kekok, namun pada masa saya perlu akur dengan kehendak pengarah. Lagipun penampilan sebegini hanya untuk drama sahaja.
“Sebelum ini pun saya pernah mendapat pelbagai maklum balas bila saya potong rambut pendek masa berlakon filem Badang,” tambahnya lagi.
Bagi Aidil pula, dia menjelaskan yang memahami penampilan imej isterinya itu hanyalah untuk menjayakan watak dalam drama yang dilakonkan.
“Isteri ada beritahu dia tak selesa dengan imej tersebut, tetapi sebagai seorang pelakon, dia faham serta perlu sesuaikan diri kerana ini adalah atas kehendak kerja,” katanya.
Fasha dan Aidil menjelaskan perkara tersebut ketika ditemui sempena sidang media pengumuman Top 5 Anugerah MeleTOP Era 2021 yang berlangsung pada Selasa.

Dalam anugerah tersebut, Fasha tercalon dalam kategori Pelakon MeleTOP bersaing dengan Dini Schatzman, Mira Filzah, Uyaina Arshad dan Uqasha Senrose.
Pasangan ini juga tercalon dalam kategori Couple MeleTOP berasingan dengan Aiman Hakim & Zahirah McWilson; Emma Maembong & Muhammad Shazli; Fattah Amin & Fazura serta Mira Filzah & Wan Emir Astar.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.