Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands dibuka Jumaat ini

JALAN Simpang Pulai-Cameron Highlands akan dibuka bermula Jumaat ini selepas ia ditutup sepenuhnya akibat kejadian tanah runtuh pada 2 Disember lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Mohd. Zolkafly Harun berkata, pembukaan tersebut adalah bagi kedua-dua laluan selepas didapati selamat untuk digunakan.

Beliau berkata, pembukaan tersebut adalah bagi kedua-dua laluan selepas didapati selamat untuk digunakan.

Menurutnya, pihak konsesi sedang menjalankan kerja-kerja pembersihan jalan serta pembinaan longkang bagi pengaliran air yang baik untuk mengelak berlakunya pengerakan tanah.

“Setakat ini kita tidak menerima laporan berkaitan pengerakan tanah di sekitar kawasan tersebut.

“Pada masa sama, orang ramai diminta agar sentiasa berhati-hati apabila memandu dan menggunakan jalan tersebut terutamanya pada musim hujan demi keselamatan,” ujarnya pada sidang akhbar, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd. Zolkafly berkata, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri Perak telah melaksanakan kerja Berkala Pavemen (BP) 2021 dengan kaedah pembinaan semula (reconstruction) di Laluan Persekutuan FT239 Jalan Ampang-Jelapang.

Katanya, pihak konsesi telah menemukan mendapan sepanjang 10 meter (m) dan 1.5m lebar pada bahu jalan di Seksyen 4.73 setelah kerja-kerja miling dilaksanakan pada 19 Oktober lalu.

Jelasnya, hakisan tanah dipercayai berpunca daripada resapan air kesan kebocoran longkang di tepi jalan dan pihak JKR telah meletakkan papan lapis dan kanvas di atas permukaan mendapan. 

Terdahulu, SatuBerita melaporkan dua kenderaan terbabit dalam insiden tanah runtuh di Seksyen 27, Kilometer (KM) 39 FT 185 Jalan Simpang Pulai-Blue Valley (Cameron Highlands).

Mangsa maut dalam insiden itu dikenal pasti sebagai pemandu lori, Muhamad Hafiz Hamdi, 31, dan pemandu MPV, Tan Chee Heng, 36. – SB