Oleh RAHIMI MOHAMAD
PAS Johor percaya persefahaman yang terbina perlu sentiasa dipertahankan dan diperbaharui agar ia terus subur, walaupun mungkin ada tindakan yang kadang-kala dilihat bertentangan dengan semangat persefahaman.
Oleh itu kata Pesuruhjaya Pas negeri, Abdullah Husin, mereka akan terus berusaha untuk memastikan kerjasama melalui Muafakat Nasional (MN) yang terjalin bersama UMNO akan terus dipertahankan selain pada masa sama mahu mempertahankan Perikatan Nasional (PN).
Kata Naib Pengerusi PN Johor itu, langkah berkenaan juga selari dengan keputusan Majlis Syura Ulama dan Pas pusat yang turut selaras dengan perintah Allah SWT.
“Keputusan itu antara lain seperti yang terkandung dalam Piagam MN iaitu tidak menghalang parti komponennya membina kerjasama dengan mana-mana pihak sama ada parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau individu yang tidak bersama Pakatan Harapan (PH).
“Pas membina kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang telah meninggalkan PH.
“(Maka) Kita akan terus teguh dengan usaha dakwah ke arah menyatukan umat Islam dan masyarakat umum yang lain sama ada parti politik, NGO atau platform lain bagi mewujudkan persefahaman bersama dan menyeluruh,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini, Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad seolah-olah mahu meletak tepi semangat MN di negeri itu apabila menyatakan UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada masa ini hanya mahu memberi tumpuan kepada pengukuhan parti terlebih dahulu berbanding perkara lain.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor itu berkata, ia termasuk soal kerjasama dengan pihak lain terutama berkaitan MN yang sedang diperkatakan ketika ini.
Malah, Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed baru-baru ini turut menyatakan akan membawa usul supaya UMNO memutuskan hubungan dengan Pas seterusnya membubarkan MN pada Mesyuarat UMNO Bahagian Pulai, Sabtu ini.
Menurut Nur Jazlan, usul itu akan dibuat setelah bosan didesak Pas yang lagak seperti parti lebih dominan berbanding UMNO, sedangkan tewas semua kerusi ditandingi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, baru-baru ini.
Sementara itu, mengulas lanjut, Abdullah berkata, perdamaian dan persefahaman yang dibina adalah untuk menjaga kepentingan Islam serta umatnya selain masyarakat umum yang lain dan ia perlu menyeluruh bukan kerana agenda tertentu dan bukan juga untuk kelompok tertentu sahaja.
“Petikan ayat ke-9 hingga 10 surah Al-Hujurat juga menyebut, para ulama bersepakat menyatakan bahawa perintah mendamaikan umat Islam yang bertelagah adalah wajib. Perdamaian dan persefahaman ini perlu sentiasa dipertahankan dan diperbaharui kerana persaudaraan Islam adalah berkekalan di dunia dan akhirat. Justeru ianya wajib diperkukuhkan,” katanya.
Tambah beliau, ayat ke-46 surah Al-Anfaal juga secara jelas mengingatkan agar terus mempertahankan permuafakatan dan kerjasama yang dibina kerana ia merupakan asas kepada kekuatan dan sebaliknya perpecahan pula adalah punca kepada kelemahan.
“Oleh itu, Pas Johor menyeru agar kita dapat bertaawun dalam perkara yang kita sepakati dan bertoleransi dalam perkara yang kita tidak sependapat. Semoga Allah melapangkan dada kita demi melihat persaudaraan Islam Melayu menjadi tunjang kekuatan bersama bangsa dan masyarakat lain. Perpaduan Nasional asas kekuatan. Perpecahan punca kehancuran,” ujarnya. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.