Mayat pekerja pembinaan jambatan ditemui

MAYAT seorang lelaki ditemukan orang awam di Sungai Perak berhampiran Kampung Sawa, Gerik, pada pukul 8.41 pagi ini.

Pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lenggong dalam satu kenyataan, mengesahkan mayat berkenaan adalah Nabil Haikal Nazarrudin, 21,

Nabil Haikal mangsa bersama-sama rakan mandi di sungai tersebut pada petang kelmarin sebelum hilang.

Ketua BBP Lenggong, Farizul Anuar Razali berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan selepas menerima panggilan berhubung kejadian tersebut pada pukul 5.44 petang.

“Berdasarkan maklumat rakan mangsa, mangsa yang bekerja membina jambatan di lokasi tersebut mandi bersama-sama rakan lain sebelum didapati hilang.

“Operasi mencari dilakukan kelmarin dan mayat mangsa dijumpai hari ini sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurutnya, operasi mencari mangsa disertai 16 pegawai dan anggota BBP Gerik dan Lenggong dibantu enam penyelam Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Kuala Kangsar.

“Operasi yang turut mendapat kerjasama pihak polis, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) itu tamat pada pukul 10 pagi,” katanya.