SEORANG lelaki warga emas yang berhasrat untuk menunaikan solat Jumaat bertukar tragedi apabila dia maut ditikam di hadapan rumahnya di Kampung Idaman, Pandamaran, Klang.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, mangsa, Mohd. Sani Abdullah, 69, meninggal dunia akibat kecederaan di anggota badan.
Memetik laporan Kosmo, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, siasatan awal pihaknya mendapati perbuatan itu dipercayai dilakukan seorang lelaki.
“Ketika kejadian, mangsa sedang bersiap untuk pergi menunaikan solat Jumaat di sekitar kawasan berkenaan.
“Mangsa kemudian didatangi seorang lelaki yang bertindak menikamnya di badan dengan senjata tajam lalu melarikan diri,” katanya.
Tambahnya, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk bedah siasat.
Hoong Fong menjelaskan, pihaknya masih menjalankan siasatan menyeluruh termasuk mengesan suspek kes berkenaan.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta untuk menghubungi balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.