4 ditahan termasuk suami isteri bersama ganja RM267,500

0
329

POLIS menumpaskan sindiket pengedaran dadah selepas menahan empat individu, termasuk sepasang suami isteri dan merampas 107 kilogram (kg) bernilai RM267,500 dalam siri serbuan di sekitar Pulau Pinang dan Kedah, semalam serta kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Asisten Komisioner Mohd Radzi Ahmad berkata, bertindak hasil maklumat dan risikan yang dijalankan polis sejak seminggu lepas, pihaknya menahan dua lelaki yang sedang menaiki sebuah motosikal di kawasan Kampung Lahar Yooi, Sungai Dua dekat Kepala Batas, Pulau Pinang pada 8.40 malam kelmarin.

“Pemeriksaan ke atas dua lelaki yang bekerja kilang itu polis menemukan lima ketulan mampat ganja seberat 5kg bernilai RM12,500, dipercayai semasa ditahan mereka dalam perjalanan menghantar bekalan dadah tersebut kepada pembeli.

“Susulan penahanan dua lelaki itu, polis menyerbu sebuah rumah di Taman Cempaka Indah, Bukit Selambau di Kedah pada 9.50 malam, hari yang sama dan menahan seorang wanita iaitu kakak kepada seorang daripada dua lelaki tersebut. Kami merampas 100 ketulan mampat ganja di situ,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah SPU, hari ini.

Katanya, ganja dirampas di rumah wanita yang merupakan suri rumah itu seberat 102kg dan bernilai RM255,000 sebelum  polis kemudiannya menahan suaminya di kawasan Sungai Ara, Bayan Lepas dekat sini pada 12.45 tengah malam semalam bagi membantu siasatan.

Mohd Radzi berkata, berdasarkan siasatan empat individu berusia 25 hingga 33 tahun itu dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah sejak Jun tahun ini dan mereka mendapatkan bekalan ganja daripada rangkaian sindiket sebelum menjualnya semula kepada pembeli sekitar Pulau Pinang.

Katanya, polis tidak menolak kemungkinan suami isteri yang tidak bekerja itu merupakan dalang utama sindiket tersebut dengan menjadikan rumah mereka sebagai stor menyimpan dadah sebelum mengedarnya.

“Dalam serbuan itu polis turut menyita  wang tunai, sebuah kereta dan dua motosikal yang kesemuanya bernilai RM73,000. Semua ganja dirampas tersebut boleh digunakan oleh 210,000 penagih dadah,” katanya sambil menambah ujian air kencing mendapati seorang daripada mereka positif dadah.

Sementara itu, dalam kes berasingan beliau berkata polis menahan seorang lelaki berusia 37 tahun yang merupakan pengedar dadah dan merampas 10.277kg ganja bernilai RM25,693 dalam serbuan di Penaga, 3 pagi hari ini.

Katanya siasatan mendapati lelaki yang tidak bekerja dan hidup mewah hasil kegiatan mengedar dadah itu telah bergiat aktif sejak Jun lepas dengan dia mendapatkan bekalan dadah daripada sindiket sebelum menjual semula kepada pelanggannya di sekitar daerah SPU.

“Empat individu kes pertama dan lelaki yang ditahan awal pagi tadi itu kini direman antara lima hingga tujuh hari bagi membantu siasatan dan kes mereka disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.- BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here