Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Muhyiddin kotakan janji enggan bantu bebaskan Najib dari pertuduhan - Dr. M -

Muhyiddin kotakan janji enggan bantu bebaskan Najib dari pertuduhan – Dr. M

WALAUPUN Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak menyokong banyak perkara yang dilakukan Tan Sri Muhyiddin Yassin, namun satu perkara yang diakuinya mengenai bekas rakan seperjuangannya dalam parti yang menggantikan beliau sebagai Perdana Menteri adalah pendirian utuhnya dalam menyekat sebarang percubaan untuk menggugurkan beberapa pertuduhan jenayah terhadap Datuk Seri Najib Razak.

“Muhyiddin memberi jaminan kepada saya, beliau tidak akan masuk campur dalam perbicaraan Najib dan kes-kes mahkamah yang lain.

“Sekurang-kurangnya, dalam perkara ini, saya yakin Muhyiddin kotakan janjinya itu — beliau nampaknya menolak untuk gugurkan pertuduhan-pertuduhan terhadap Najib atau mendapatkan pengampunan bagi sabitan jenayahnya,” tulis pemimpin veteran itu dalam “Capturing Hope: The Struggle Continues for a New Malaysia,” lapor portal MalaysiaNow pada Selasa.

Buku berkenaan merupakan naskhah memoir setebal 304 muka surat yang bakal dilancarkan, di mana ia mengandungi rangkuman peristiwa sepanjang 15 tahun persaraan Dr. Mahathir sebelum kembali mengetuai tampuk pentadbiran negara pada 2018 dan kemudiannya meletakkan jawatan selepas 22 bulan.

Namun Mahathir berkata, kerana prinsip jugalah yang menyebabkan Muhyiddin tumbang pada Ogos lalu, apabila beliau terpaksa meletakkan jawatan selepas beberapa ahli Parlimen UMNO menarik sokongan terhadapnya yang didalangi Najib dan Presiden parti itu, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

“Apabila Muhyiddin menolak untuk menghentikan prosiding mahkamah terhadap Najib, Najib ugut untuk tarik sokongan terhadap gabungan itu, mengakibatkan beberapa peristiwa terjadi dan menyebabkan Ismail Sabri naik ke tampuk kuasa,” katanya selain menambah beliau sudah mengingatkan Muhyiddin untuk tidak mengambil risiko menerima sokongan Najib bagi membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Semalam, Mahkamah Rayuan menolak percubaan Najib untuk mengenepikan sabitan tujuh pertuduhan ke atasnya termasuk salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram.

Sabitan yang dijatuhkan pada Julai tahun lalu itu turut membawa hukuman 12 tahun penjara dan denda sebanyak RM210 juta, sekitar empat bulan selepas Muhyiddin menduduki jawatan perdana menteri selepas membawa Bersatu keluar daripada gabungan Pakatan Harapan (PH).

Mahathir dan Muhyiddin adalah pemimpin utama yang membentuk Bersatu pada 2016 bagi mencabar Najib ketika pendedahan berhubung skandal berkait 1MDB memuncak dalam negara.

Parti itu kemudiannya bergabung bersama PH bagi menamatkan enam dekad pentadbiran kerajaan Barisan Nasional, sekali gus menyaksikan Mahathir menjadi ketua kerajaan paling tua di dunia yang dipilih dalam pilihan raya pada usia 93 tahun.

Namun susulan beberapa kontroversi berhubung peralihan kuasa yang bakal menyaksikan bekas musuhnya Anwar Ibrahim menggantikan beliau bagi jawatan paling kanan dalam negara itu, keretakan mulai jelas dalam kerajaan PH.

Pada awal 2020, gabungan itu akhirnya tumbang sehingga menyebabkan perpecahan dalam PKR dan Bersatu.

Sepanjang 17 bulan mentadbir negara, Muhyiddin beberapa kali mengulangi tidak akan masuk campur dalam kes-kes rasuah berprofil tinggi membabitkan pemimpin-pemimpin Umno walaupun mereka bersama-sama dalam membentuk blok menyokong ahli Parlimen Pagoh itu sebagai perdana menteri pada 2020.

Muhyiddin berkata, beliau terpaksa meletakkan jawatan selepas sekumpulan “kleptokrat” berkomplot menentang beliau bagi melepaskan diri daripada perbicaraan, merujuk kepada Najib, Zahid dan sekumpulan ahli-ahli Parlimen UMNO yang berdepan pertuduhan rasuah.

Dalam usaha akhirnya untuk menghalang kumpulan itu kembali berkuasa, Muhyiddin menawarkan kerjasama rentas parti kepada ahli-ahli Parlimen PH, akan tetapi ditolak gabungan itu menyebabkan beliau terpaksa meletakkan jawatan beberapa hari selepas itu.

MalaysiaNow turut melaporkan secara terperinci bagaimana Zahid bertemu Muhyiddin untuk mendapatkan sokongan bagi menggugurkan beberapa pertuduhan rasuah yang dihadapinya.

Sementara itu Mahathir juga yakin pengganti Muhyiddin, iaitu Ismail juga menerima tekanan yang sama dari Najib.

“Bagi Najib, apa yang penting adalah untuk kembali berkuasa — dan semakin dekat menuju ke arah itu. Dia sudah menunjukkan satu kebangkitan yang mengagumkan selepas tumbang pada pilihan raya umum (PRU) 2018.” – SB