Warga emas maut dipukul lelaki mabuk guna batang cangkul

SEORANG warga emas ditemui maut, selepas dipercayai dipukul menggunakan bayang cangkul di kediamannya di Jalan Abi Tok Hashim, Kangar, Perlis, semalam.

Kejadian itu dikatakan berlaku pada jam 10 malam dan polis menerima maklumat orang awam yang menemui mangsa berlumuran darah tidak sedarkan diri di rumahnya.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superitendan Wari Kiew berkata, mengesahkan mangsa, Yeen Baai, 72, maut selepas dipercayai dipukul dengan batang kayu cangkul.

“Adik kepada mangsa yang tinggal hanya 30 meter dari rumah mangsa memberitahu rumahnya didatangi oleh seorang lelaki yang memang dikenali oleh keluarganya. 

“Suspek berusia 34 tahun itu dipercayai berada dalam keadaan mabuk memberitahu adik mangsa untuk melihat sendiri keadaan mangsa yang sedang berlumuran darah di kepala.

“Adik mangsa mengajak suspek ke rumah abangnya untuk melihat keadaan abangnya itu. Suapek membawanya melalui pintu belakang terus ke bilik tidur mangsa dan mendapati mangsa terbaring di hadapan pintu bilik tidur dalam keadaan hanya memakai kain tanpa baju dan terdapat kesan darah pada bahagian kepala mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Adik mangsa turut menemui serpihan cangkul yang patah di sisi badan mangsa.

“Melihatkan keadaan mangsa yang terbaring tidak sedarkan diri, suspek terus beredar dari lokasi kejadian manakala adik mangsa segera meminta anaknya menghubungi polis.

“Polis yang tiba di tempat kejadian kemudian berjaya menjejaki suspek di rumahnya dan terus memberkasnya.

“Suspek yang juga seorang penganggur berasal Assam Kumbang, Taiping, Perak dan hasil semakan rekod mendapati suspek pernah dua kali dihukum kerana kes mendatangkan kecederaan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.

Wari berkata, siasatan awal polis mendapati mangsa dan suspek saling mengenali dan mangsa tinggal bersendirian di kediaman berkenaan sejak setahun yang lalu selepas isterinya meninggal dunia. 

“Mangsa mempunyai anak seramai tiga orang yang tinggal di Kedah dan punca kejadian dipercayai disebabkan suspek cuba meminta duit dan rokok daripada mangsa. 

“Kami difahamkan suspek kerap datang ke rumah mangsa kerana ingin meminta rokok dan mangsa akan melayan suspek dengan membenarkannya masuk ke rumah untuk menghisap rokok bersama,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut di tempat kejadian menemui beg duit berwarna kelabu dipercayai milik mangsa berada di dalam laci bilik tidurnya. 

“Hasil pemeriksaan juga mendapati dompet mangsa tidak mempunyai wang wang atau apa jua dokumen namun telefon bimbit mangsa bagaimanapun didapati hilang.

“Hasil soal siasat awal, suspek mengaku terbabit dalam kejadian berkenaan namun kami berjaya mendapatkan reman selama enam hari untuk siasatan lanjut,” katanya. – SB