Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Penganggur dituduh bunuh bapa -

Penganggur dituduh bunuh bapa

SEORANG penganggur yang dipercayai mempunyai masalah kesihatan mental, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sepang, Selangor, hari ini atas pertuduhan membunuh bapanya di rumah mereka di Kampung Jenderam Hulu, Dengkil, minggu lalu.

Tertuduh, Faizal Riza Ridwan, 48, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman, namun tiada pengakuan direkodkan.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Farah Sofea Norazman mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa membunuh bapanya Ridwan Ab Latip, 73, pada 1 Disember lepas, antara jam 4.45 petang hingga 5.30 petang di sebuah rumah di Kampung Jenderam Hulu, Dengkil.

Nurul Farah Sofea memohon kepada mahkamah untuk menetapkan tarikh baharu sementara menunggu laporan perubatan, laporan kimia dan laporan hospital kerana tertuduh mempunyai rekod masalah kesihatan mental.

Ayuni Izzaty kemudian menetapkan 24 Januari depan untuk tarikh sebutan semula kes sementara  menunggu laporan perubatan, laporan kimia dan laporan bedah siasat.

Faizal Riza yang tidak diwakil peguam dan tidak ditawarkan jaminan dan akan dihantar ke Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan, Ipoh, Perak untuk penilaian kesihatan mental di bawah Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah.

Media melaporkan seorang pesara tentera mati setelah dicederakan dengan pisau pemotong kek selain dipukul bertubi-tubi oleh anak lelakinya, dan mempunyai kesan kecederaan teruk pada bahagian muka, selain cedera di dada dan kedua-dua belah tangan ketika ditemukan di ruang tamu dalam keadaan berlumuran darah. – BERNAMA.