TIGA lagi kes baharu positif Covid-19 Kluster Intan Delima 2 dikesan semalam, menjadikan keseluruhan 39 kes membabitkan pelajar dan pensyarah Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan (KMNS), Negeri Sembilan.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Alam Sekitar, Kesihatan, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan berkatq, kesemuanya sedang dikuarantin di rumah dan asrama KMNS selain di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Kuala Pilah.
“Individu yang dikesan positif ini ada yang bergejala dan ada yang tidak, bagaimanapun setakat ini tiada yang memerlukan bantuan pernafasan,” katanya ketika memetik laporan BH, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan sebanyak 32 kes positif COVID-19 dilaporkan di KMNS membabitkan kluster baharu, Kluster Intan Delima 2 disusuli pertambahan empat kes pada Sabtu.
Veerapan berkata, keadaan kes adalah terkawal, malah pengurusan kolej memberikan kerjasama baik dalam menguruskan pelajar yang dikuarantin termasuk makan minum dan hal ehwal kebajikan pelajar.
“Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan akan terus memantau perkembangan kolej berkenaan dari semasa ke semasa,” katanya.
Ketika ini KMNS di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Pentadbiran (TEMCO) yang ditetapkan selama tujuh hari sehingga 8 Disember ini. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.