MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin, hari ini mengumumkan Prosedur operasi standard (SOP) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak sudah hampir siap dan akan dikemukakan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam masa terdekat.
Beliau berkata, SOP itu mengambil kira situasi terkini penularan varian Omicron dengan beberapa langkah yang lebih ketat.
“SOP sudah hampir siap dan Kementerian Kesihatan (KKM) sedang memperhalusi satu dua perkara untuk kita kemukakan kepada SPR.
“Sudah pasti perkembangan terbaru diambil kira supaya SOP yang akan dikemukakan kepada SPR itu adalah lebih ketat agar tidak ada penularan berlaku pada PRN berkenaan,” katanya pada sidang media khas, hari ini.
Bagaimanapun, beliau berkata, perkembangan terbaru melibatkan pengesanan kes pertama Omicron di Malaysia turut diambil kira dengan beberapa langkah ketat turut dikemukakan.
SPR telah menetapkan 18 Disember sebagai hari pengundian dan penamaan calon pada 6 Disember manakala undi awal pada 14 Disember.
Pilihan Raya Negeri Sarawak kali ini dilakukan selepas keputusan darurat yang ditarik balik pada 3 November lalu, sekali gus membolehkan SPR mengadakan pilihan raya Sarawak.
Susulan penamatan darurat itu, DUN Sarawak turut terbubar pada 3 November dan ia memberi laluan kepada PRN ke-12 Sarawak yang mempunyai 82 kerusi DUN.
Pada PRN ke-11, Barisan Nasional telah memenangi 72 daripada 82 kerusi atau 87.8 peratus. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.