KKM senarai lapan negara dalam sekatan perjalanan

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) menyenaraikan lapan negara dalam sekatan perjalanan sementara, dengan Malawi menjadi yang terkini dalam senarai tersebut susulan penularan varian baharu Covid-19, Omicron.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata pada 26 November lepas, KKM menyenaraikan Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia dan Zimbabwe dalam senarai sekatan perjalanan sementara.

“Hari ini, Malawi tersenarai menjadikan jumlah negara terkini dalam senarai sekatan perjalanan adalah sebanyak lapan negara,” katanya pada sidang media perkembangan semasa varian Omicron dan Covid-19 di Malaysia di di Kuala Lumpur pada Rabu.

Beliau berkata, 20 negara sudah melaporkan pengesanan varian Omicron setakat semalam dan 203 daripada 215 kes varian itu telah dilaporkan dalam laman web Global Initiative on Sharing All Influenza Data (GISAID).

Tambah beliau, KKM akan menyediakan senarai negara yang melaporkan kes varian Omicron atau berisiko tinggi berlaku penularan jangkitan varian baharu itu secara harian untuk diedarkan kepada Kementerian Luar; Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya; Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Imigresen melalui Majlis Keselamatan Negara.

Beliau berkata, ia merupakan sebahagian daripada langkah-langkah kawalan serta pencegahan varian Omicron yang telah dibentang dan dipersetujui dalam Mesyuarat Kuartet Menteri Covid-19 semalam.

Khairy dalam masa memaklumkan, kerajaan juga memutuskan untuk menangguh buat sementara waktu kemasukan pelajar antarabangsa dan pekerja asing dari negara-negara yang disenarai berisiko jangkitan varian Omicron.

Selain itu, warga emas dan individu yang mempunyai komorbiditi dinasihatkan untuk tidak ke luar negara dan mengelakkan kawasan sesak buat masa ini.

Menurut beliau semua langkah itu dilaksanakan bagi mengelak penularan varian baharu berkenaan di negara ini.

Omicron yang pertama kali dilaporkan kepada Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) oleh Afrika Selatan pada minggu lepas itu telah dilabelka oleh pertubuhan itu sebagai “varian membimbangkan”.

Ini kerana menurut beliau, Omicron disyaki berkembang semasa jangkitan kronik dalam individu yang mempunyai sistem imun rendah. – SB