KENAIKAN melampau harga barang terutamanya barangan keperluan yang berlaku ketika ini telah menyebabkan tekanan hebat kepada rakyat.
Baca berita berkaitan: [VIDEO] Harga barang naik: Lambat lagi nak tunggu Tahun Baru Cina
Ini kerana, kenaikan harga melampau itu dilakukan oleh pihak-pihak tertentu bagi mengambil untung sedangkan pada ketika ini rakyat rata-ratanya terjejas kesan daripada pandemik Covid-19 yang melanda sejak 2020.
Malah ada juga yang mengadu bahawa RM300 pada ketika ini tidak mencukupi untuk membeli barangan keperluan untuk seminggu.
Keresahan, keluhan dan kemarahan rakyat dapat didengari di merata-rata tempat, seperti yang diluahkan oleh kebanyakan pengguna yang ditemui SatuBerita dalam tinjauan yang dilakukan di sekitar kawasan Selayang pada Rabu.

Menurut Rosdi Aziz, 60, dia sekeluarga terpaksa mengikat perut akibat kenaikan harga barang secara mendadak yang memberi kesan yang besar terhadap kadar perbelanjaannya.
“Memang sangat terkesan. Kita terpaksa kena catu sikit pembelian barang. Maksudnya kalau kita biasa beli sekilo jadi kena kurangkanlah untuk jimatkan perbelanjaan,” katanya kepada SatuBerita.
Tambahnya, pada waktu yang sukar ini, perbelanjaan bagi keperluan harian seperti barangan basah tidak mencukupi sekiranya tidak berbelanja lebih dari RM300.

Hakikat yang sama dihadapi oleh Nadi Ibrahim, 53, yang juga terkesan dengan kenaikan harga barangan yang mengejut dan melampau.
Menurutnya, dia terpaksa mengajar anak-anak untuk berjimat berbelanja bagi mengurangkan perbelanjaan bulanan.
“Kalau nak bawa belanja makan pun sebulan sekali boleh la, kalau sebelum ini teringin je nak makan terus bawa mereka keluar,” luahnya.
Nadi berkata, sejak kenaikan harga barang, dia berasa sedikit sempit dari segi kewangan dan perbelanjaan bulanan yang menyebabkan dia terpaksa membeli barangan yang diperlukan sahaja.

Sehubungan dengan itu, menurut Ramlan Mat Deros, 61, kenaikan harga barangan harian yang mendadak telah menjejaskan perbelanjaannya sekeluarga sehingga terpaksa membuat catuan pembelian barang keperluan.
“Kenaikan dia mendadak, tetapi kena lah juga beli sayur-sayur seperti ini tapi terpaksa beli dengan kadar yang sedikit.
Tak macam dulu kita boleh beli sekali dua ke tiga kilogram, macam bendi, kailan tapi sekarang kita tengok harga macam ni, kita terpaksa hadkan pembelian ini.
“Perbelanjaan tu kena bajet lah, tak boleh berbelanja mewah, seperti sayur-sayur, barang keperluan dapur. Macam telur naik harga, minyak masak naik harga, Cuba bayangkan minyak sekilogram sepaket dulu RM2.50, sekarang RM6. Perbezaan itu ketara sangat.” luahnya.

Sementara itu, Izzat Izzudin, 33, berpendapat keputusan kenaikan harga barangan yang melampau sebagai tidak relevan sehingga memaksanya untuk menyekat beberapa perbelanjaan bulanan.
“Tiba-tiba terus naik. Contoh, harga ayam tiba-tiba naik. Lobak pun naik. Bagi kita yang gaji cukup-cukup ni agak terkesan juga la.
“Disebabkan itu, saya terpaksa lihat balik dari segi perbelanjaan dan penggunaan tapi agak terdesak juga la kerana naik yang terlalu mendadak,” katanya.

Seorang ibu tunggal, Salmiah Safiai, 46, juga sempat meluahkan kesusahan yang dihadapinya sejak kenaikan harga barang ini terutamanya selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Saya memang terkesan dari segi kewangan, dah tak boleh nak makan dan berbelanja besar sebab nak berjimat dengan anak-anak yang masih bersekolah,” katanya.
Salmiah turut menyatakan bahawa setiap kali dia mempunyai wang, dia terpaksa memikirkan mengenai harga barang terutamanya barang keperluan, ubat-ubatan dan sebagainya.
“Jadi semuanya kena jimat sangat-sangat, macam saya memang mempunyai masalah kesihatan jadi memang dapat duit terus habis macam itu sahaja,” luahnya. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.