Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
[VIDEO] Harga barang naik: Peniaga tersepit di tengah -

[VIDEO] Harga barang naik: Peniaga tersepit di tengah

KENAIKAN harga barang yang melampau pada ketika ini bukan sahaja menjejaskan pengguna biasa tetapi juga para peniaga.

Seperti pengguna lain, para peniaga juga bergantung kepada bekalan barangan yang sama yang mana kenaikan tidak terkawal harga barangan akan menyebabkan kos operasi mereka juga meningkat.

Menurut para peniaga yang ditemubual SatuBerita di sekitar Selayang, Selangor pada Rabu, rata-rata memberitahu, kenaikan melampau harga barangan menyebabkan mereka tersepit di tengah-tengah.

Ini kerana, kos operasi yang meningkat kesan daripada kenaikan menyebabkan mereka terpaksa menaikkan harga jualan dan ini menimbulkan kemarahan pelanggan.

Zuraida Omar, 39

Menurut Zuraida Omar, 39, yang merupakan seorang peniaga makanan, dia tidak setuju akan kenaikan harga barang kerana jika dia menaikkan harga jualan, agak susah untuk mendapatkan keuntungan akibat kekurangan pelanggan.

“Saya sebagai peniaga kecil memang rasa terjejas sangat, sebab kenaikannya terlampau mendadak sangat. 

“Macam akak meniaga makan, takkan kita nak naikkan harga kita, penerimaan orang macam mana betul tak,” katanya kepada SatuBerita.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata dia terpaksa mengurangkan saiz hidangan tanpa naikkan harga akibat rasa bersalah terhadap pelanggan.

Menurutnya, perbezaan harga barangan asas sebelum dan sekarang seperti langit dan bumi yang membebankan rakyat.

“Ayam sampai RM10 sekilogram, dulu berapa ringgit je, memang terasa sangat. Dulu orang kata ikan mahal, makan ayam. Sekarang ayam mahal kita nak makan apa?,” luahnya.

Ros Yusof, 43

Hakikat yang sama turut dihadapi seorang lagi peniaga makanan, Ros Yusof, 43, yang turut terkesan dengan kenaikan harga barangan yang mendadak dan mengejut.

“Sebagai peniaga kecil macam saya ni memang terasa lah harga barang naik. Sebab kita tidak boleh naikkan harga jualan kita.

“Ini pun harga yang sekarang kita jual orang dah rasa macam mahal, lagi kalau kita nak naikkan harga, barang harga mentah semakin naik, peniaga kecil macam kita ni rasa tersepit,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Ros menyatakan harapan untuk pihak yang berkenaan membuat kawalan harga bagi membantu golongan kurang kemampuan dan peniaga-peniaga makanan kecil terutamanya.

“Kalau boleh bahan mentah letakkan harga yang mampu, untuk peniaga-peniaga kecil terutamanya. 

“Sebab semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pun kita pendapatan tidak seberapa, sekarang nak mulakan perniagaan balik, tiba-tiba harga barang pula naik,” luahnya. 

Fadly Jamaludin, 35

Seorang lagi peniaga makanan, Fadly Jamaludin, 35, turut terkesan dengan kenaikan harga barang terutamanya ayam.

“Banyak terkesan sebab dia punya naik tu kadang-kadang tinggi ada yang RM1.20 naik jadi bila kita nak beli barang, kita dapatlah rasa kenaikan harga tu,” katanya.

Fadly juga tersepit di antara harga barang dan pelanggan disebabkan harga barang naik tapi pelanggan turut marah apabila harga jualan dinaikkan. 

“Kita tak boleh nak naikkan harga dekat pelanggan sebab nanti mereka marah,

“Contohnya kalau kita jual kuetiau 5 ringgit sepinggan, tiba-tiba kita nak naikkan jadi RM 5.50, pelanggan bising marah sebab naik harga.” luahnya.

Tambahnya, harga ayam dulu sekilo RM7.50 tapi sekarang harganya boleh mencecah sehingga RM9.30 sekilo.

Oleh itu, Fadly berharap pihak kerajaan dapat bantu peniaga-peniaga kecil untuk cari makan terutamanya selepas PKP

Fadly juga sempat mencadangkan supaya pihak kerajaan dapat memberi harga khas buat peniaga supaya harga jualan tetap sama walaupun harga barang naik.

“Kerajaan bagilah harga khas buat peniaga contohnya peniaga dapat harga borong dan pelanggan lain dapat harga biasa,

“Kalau semua harga sama, susah juga kami nak dapat pusing modal,” katanya. – SB