Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
PRN Sarawak: GPS mampu menang 82 kerusi jika bergerak dalam satu pasukan - Abang Johari -

PRN Sarawak: GPS mampu menang 82 kerusi jika bergerak dalam satu pasukan – Abang Johari

GABUNGAN Parti Sarawak (GPS) mampu menang di semua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) itu, 18 Disember depan, kata Pengerusi GPS Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Abang Johari yang juga Ketua Menteri Sarawak berkata perkara itu boleh dicapai sekiranya gabungan parti itu bergerak dalam satu pasukan.

“Jika kita berjuang di medan perang (pilihan raya) dengan satu semangat dan satu pasukan, kita boleh sapu semua 82 kerusi,” katanya dalam ucapan pada majlis pelancaran jentera GPS bagi PRN Sarawak di sini, malam tadi.

Abang Johari berkata jentera GPS harus membawa mesej untuk membantu rakyat semasa keluar berkempen dalam PRN ke-12 itu, kelak.

“Kita keluar dan terus berjuang demi Sarawak. Sama-sama kita bergerak dengan satu nada, satu irama dan satu lagu. Ini tanggungjawab kita semua,” katanya.

GPS terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Setiausaha Agung GPS Datuk Seri Alexander Nanta Linggi sebelum ini berkata GPS akan bertanding di semua 82 kerusi DUN Sarawak pada PRN akan datang.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRN Sarawak pada 6 Disember, pengundian awal pada 14 Disember dan hari pengundian pada 18 Disember– BERNAMA