Kenapa masa tengah ‘top’, Yana Samsudin selamba pandu kelisa

MENGAKUI pernah menolak lamaran suaminya satu ketika dahulu, pelakon Yana Samsudin mengakui tindakannya itu dibuat kerana mahu membantu keluarganya terlebih dahulu sebelum berkahwin.

Dia tidak sesal menolak awal lamaran tersebut kerana mengikuti pesan ayahnya yang mahu dia menyimpan duit terlebih dahulu sebelum berkeluarga.

“Ketika jadual penggambaran tak henti-henti, saya masih lagi pakai kereta Kelisa sahaja meskipun nama di puncak populariti.

“Ayah pesan, kalau nak kahwin kena ada RM200,000 dalam bank. Sebab itu juga saya pakai kereta tu sampai ada rakan artis menegur kenapa tak tukar kereta.

“Sedangkan punca sebenarnya saya mahu simpan duit dan beri keutamaan untuk belanja keluarga dahulu.

Saya bangga ketika di umur 30 tahun, saya sudah belikan rumah lima bilik dan empat bilik air untuk keluarga,” katanya lagi.

Yana berkongsi kisah tersebut ketika sesi Instagram Live bersama penggiat seni anjuran Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) baru-baru ini.

Sesi tersebut diadakan sempena Festival Filem Malaysia Ke-31 (FFM31) yang akan berlangsung pada 10 Disember depan di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).

Tambahnya lagi, dek kerana mahu mengumpulkan duit seperti mana saranan bapanya, dia membulatkan tekad menolak risikan suaminya, Fadzil Zahari yang maju menyunting dirinya.

“Masa itu saya fikir nak berikan keselesaan dan bantu keluarga terlebih dahulu. Tetapi selepas semuanya selesai, barulah saya sedia untuk memikirkan perkara seterusnya dalam kehidupan.

“Saya bersyukur kerana dia faham dengan keadaan itu dan memberikan sokongan. Selepas tempoh berkenaan, saya berkahwin juga dengan dia,” kata Yana mengimbas kembali perjalanan hidup yang pernah dilaluinya dahulu.

Untuk rekod Yana dan Fadzil mendirikan rumah tangga pada 13 Februari 2015 dan kini dikurniakan dua cahaya mata.