KERAJAAN bercadang menggunakan kaedah inokulasi atau penyuntikan pada batang pokok getah bagi membolehkan aktiviti menoreh dapat diteruskan walaupun pada musim tengkujuh.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, kaedah tersebut sedang dalam tempoh percubaan di beberapa kawasan ladang getah termasuk di Melaka dan ia dijangka diperkenalkan kepada pekebun kecil dalam tempoh setahun lagi.
“Kita panggil kaedah ini sistem inokulasi seperti ‘injection’ atau cucuk dekat batang getah itu dan ada tiub masuk ke dalam bekas yang bertutup. Jadi kalau hujan, dia (pekebun kecil) tidak perlu susah hati lagi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Jelajah Agrikomoditi #Keluarga Malaysia di Kampung Kepah, Kuala Berang di Terengganu pada Sabtu.
Zuraida berkata, kementeriannya juga sedia memberi bantuan kewangan kepada pekebun kecil untuk membeli alat bagi kaedah inokulasi tersebut yang dijangka berharga antara RM10 hingga RM20 seunit.
Beliau berkata, kementeriannya juga sedang meneliti untuk menggunakan sejenis cecair kimia yang boleh diletakkan pada saluran torehan di pokok getah bagi meningkatkan produktiviti dan kualiti hasil getah.
Mengenai Jelajah Agrikomoditi #Keluarga Malaysia itu, Zuraida berkata ia merupakan inisiatif kementeriannya untuk berkongsi maklumat dan mengambil maklum keperluan para penoreh getah.
Katanya program seumpama itu amat penting memandangkan sumbangan penoreh getah sangat penting kepada pembangunan ekonomi negara sejak sebelum merdeka dan getah kini merupakan sumber eksport keenam terbesar negara. – Bernama
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.