Belum sesuai adakan pilihan raya umum dalam masa terdekat 

0
486

Oleh RIZQI ZABIDI

PILIHAN Raya Umum ke-15 (PRU-15) tidak sesuai diadakan dalam masa terdekat ketika tumpuan semua pihak perlu difokuskan terhadap usaha membangunkan negara setelah lebih dua tahun ‘berperang’ dengan Covid-19.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, ketika ini pelbagai usaha masih perlu dilakukan untuk melandaikan lagi Covid-19.

Dalam masa sama katanya, semua pihak turut perlu memberi fokus terhadap ekonomi negara yang terjejas akibat pandemik tersebut.

“Saya kira elok kita landaikan lagi Covid-19 kerana terdapat pelbagai masalah melanda negara dalam tempoh dua tahun ini. Lagi pun sekarang ini kita dalam usaha memulihkan ekonomi yang terjejas.

“Dua perkara ini perlu diberi penekanan dan selepas itu kalau keadaan dah selesa, eloklah kita fikirkan nak buat PRU,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Forum Sahabat Komuniti Desa (Skod) di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dekat Naka, Padang Terap, hari ini.

Baru-baru ini, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, menggesa agar PRU-15 dipertimbangkan untuk diadakan dalam masa terdekat mengambil kira sentimen rakyat ketika ini yang dilihat memihak kepada Barisan Nasional (BN).

Beliau juga ada menyuarakan perkara itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebaik sahaja BN memenangi PRN Melaka.

Namun semalam Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memaklumkan, Kementerian Kesihatan berpandangan tidak sesuai untuk PRU-15 diadakan dalam tempoh terdekat memandangkan penularan kes Covid-19 di negara ini masih membimbangkan selain berdepan peningkatan kadar kemasukan ke hospital.

Sementara itu Mahdzir yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar memaklumkan, Majlis Amanah Rakyat (Mara) tidak berdepan masalah untuk melaksanakan ujian saringan Covid-19 secara mingguan terhadap para pelajar di bawah tanggungjawabnya termasuk di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

“Saya dimaklumkan Mara akan patuhi arahan Kementerian Kesihatan itu sama ada di MRSM mahu pun institusi pengajiannya yang lain.

“Kalangan pelajar itu akan melaksanakan ujian saringan tersebut di tempat masing-masing dan kosnya akan ditanggung Mara,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here