[VIDEO] Tolak Muafakat Nasional, jika hanya libat UMNO, Pas – Hadi

0
47

TAN Sri Abdul Hadi Awang menegaskan, Pas menolak Muafakat Nasional yang terbelenggu dengan hanya melibatkan parti itu dan UMNO sahaja.

Selain itu Presiden Pas tersebut turut menegaskan, parti juga menolak fahaman yang menafikan adanya masyarakat majmuk yang wajib ditangani oleh gagasan lebih besar iaitu Perikatan Nasional.

‘’Tsunami politik yang berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang boleh mencacatkan struktur negara, sememangnya memerlukan suatu perubahan kepada proses islah yang dibentuk terkini kerana Barisan Nasional (BN) yang sudah berpenyakit.

‘’Oleh itu, langkah persembahannya bermula dengan penubuhan Muafakat Nasional yang tidak lengkap, maka perlu dilengkapkan dengan penubuhan Perikatan Nasional .

‘’Oleh yang demikian, secara tegasnya Pas tidak boleh dibelenggu atau diheret oleh sebarang kefahaman yang lain. Pas hanya bergerak dengan konsep Islam yang terang lagi bersuluh,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Pas boleh bersama-sama membina negara ini dengan acuan Islam, bukannya sekadar menjadi parti anak tangga atau parti yang menumpang sahaja.

Bahkan, tegas beliau, Pas bukan parti yang menagih simpati seperti peminta sedekah sahaja tanpa mempunyai maruah bersama Islam.

‘’Pas hanya bersedia menjadi penyelamat negara dengan konsep dan prinsip yang berasaskan kepada perjuangannya bagi menyelamatkan umat keseluruhannya. Bukanlah disebabkan oleh orang tertentu atau kelompok dan puaknya semata-mata.

‘’Pas hanya menerima Muafakat Nasional yang lengkap perjalanannya mengikut perjanjian yang telah dimeteraikan, tanpa bercanggah dengan agenda perpaduan umat yang lebih besar dan berkuasa melalui gagasan politik Perikatan Nasional,’’ katanya.

Abdul Hadi berkata, demi agenda perpaduan umat yang sebenarnya, maka Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional adalah laksana dua dalam sepasang yang tidak harus dipisahkan, sekiranya benar-benar berkonsepkan perpaduan umat dalam negara masyarakat majmuk yang ikhlas.

‘’Kedua-dua gagasan ini laksana dua tangan dalam satu jasad, kalau dibuang salah satunya akan menjadi cacat. Bahkan, ia juga laksana sepasang kasut yang tidak waras jika dipakai sebelah kasut sahaja.

‘’Bukanlah tujuan gagasan ini demi menjaga kepentingan individu atau kelompok tertentu, sama ada untuk mengangkat ataupun menjatuhkannya. Kita semua laksana ramainya penumpang yang berada dalam satu bahtera atau mengikut slogan Keluarga Malaysia yang besar sebagaimana diuar-uarkan,’’ katanya.

Beliau menegaskan,  berdasarkan semangat yang telah ditegaskan dalam Piagam Muafakat Nasional yang disertai oleh kalangan Melayu Islam dan bumiputera (penduduk asal), maka mereka wajib disatukan setelah berpecah belah dan berporak-peranda selama ini.

‘’Muafakat Nasional bukan sahaja disertai oleh Pas dan UMNO, bahkan melibatkan semua pihak jika benar-benar gagasan itu berkonsepkan acuan al-Quran yang pernah mendidik masyarakat Arab sebelum Islam yang berpecah belah,’’ katanya.

Dalam pada itu, kata Abdul Hadi, semua pihak mesti diterima hakikat bahawa Perikatan Nasional yang menjadi gagasan politik lebih besar, perlu berperanan dan berkuasa dalam negara masyarakat majmuk ini.

‘’Khususnya, bagi menegakkan prinsip Perlembagaan Persekutuan yang telah wujud dan tidak perlu dirungkai lagi, tetapi kandungan perlembagaan mestilah ditafsirkan dengan jiwa yang merdeka daripada sebarang pengaruh penjajahan pemikiran yang perlu dibuang segala kesan-kesan dan pengaruhnya yang masih ada.  Di samping itu, perlu disingkirkan puak pendukung penjajah yang menjadi makhluk perosak dalam keluarga Malaysia,’’ katanya.

Beliau berkata, Pas hanyalah berpegang kepada konsep perpaduan mengikut perspektif Islam, iaitu perpaduan umat Islam dan perpaduan umat manusia yang majmuk termasuklah dalam kalangan bukan Islam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here