[VIDEO] Bomba selamatkan lelaki kurang siuman bergayut di jejantas

SEORANG lelaki dipercayai kurang siuman bertindak membahayakan nyawa sendiri apabila bergayut atas papan tanda dalam satu kejadian di jejantas Taman Pinggiran Putra, Seri Kembangan, Selangor, pada Selasa.

Bagaimanapun, tindakan lelaki berkenaan berjaya dipatahkan dan diselamatkan oleh pasukan bomba.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, anggotanya memanjat jejantas tersebut dan telah memujuk lelaki berkenaan selama 10 minit sebelum berjaya membawa mangsa turun.

“Lelaki itu kemudian telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut berlunaskan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum itu, beliau memaklumkan pihaknya telah menerima satu panggilan kecemasan berkenaan kejadian itu sekitar jam 3.07 petang semalam.

Susulan itu, pihaknya telah mengerah seramai tujuh anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serdang ke tempat kejadian.

“Sebaik tiba ke lokasi, kami mendapati terdapat seorang lelaki berusia lingkungan 30-an bergayut atas papan tanda di jejantas itu,” tambahnya.

Beliau menambah, hasil siasatan awal bomba mendapati lelaki itu dipercayai kurang siuman dan mengalami tekanan perasaan.

Dalam dua video yang tular di aplikasi TikTok hari ini, dapat dilihat dua orang anggota bomba bersama-sama memeluk lelaki berkenaan yang memakai baju berwarna biru gelap di atas jejantas tersebut.

Lelaki itu bagaimanapun kelihatan tenang dan tidak meronta ketika pasukan bomba sedang menjalankan misi mereka membawanya turun dari jejantas.

Rata-rata netizen berterima kasih dan mengucapkan syabas atas usaha yang telah diberikan oleh pasukan bomba untuk menyelematkan nyawa lelaki berkenaan.

“Allahurabbi… abang bomba pun bergadai nyawa nak selamatkan orang tu,” luah seorang pengguna di ruangan komen.

“Syabas kepada semua anggota bomba yang bertugas sebagai penyelamat. Terbaik” ujar seorang lagi pengguna.

“Terbaik abang bomba. Betapa beratnya tugas sebagai anggota bomba,” kata seorang pengguna.–SB