Caruman baharu penerima i-Sinar, i-Citra masuk Akaun 1 dahulu

0
220

CARUMAN baharu ahli-ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang membuat pengeluaran dana akan dikreditkan dahulu ke Akaun 1 sepenuhnya.

Menurut Timbalan Menteri Kewangan, Mohd. Shahar Abdullah, perkara itu akan diteruskan sehingga keseluruhan jumlah pengeluaran diambil dapat diganti semula.

Beoiau berkata, setelah itu pecahan caruman akan kembali kepada 70 peratus ke Akaun 1 dan 30 peratus ke Akaun 2.

“Ini adalah usaha kerajaan untuk menambah baik simpanan ahli yang telah membuat pengeluaran melalui skim i-Sinar dan i-Citra untuk meringankan beban ditanggung berikutan impak pandemik COVID-19,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau berkata, berdasarkan statistik semasa dan mengambil kira pengeluaran skim i-Sinar dan i-Citra, hanya 27 peratus daripada ahli aktif berumur 18 hingga 55 tahun dijangka mempunyai simpanan dalam Akaun 1 melebihi kuantum simpanan asas yang ditetapkan mengikut umur.

Mohd. Shahar menjawab pertanyaan soalan tambahan oleh Datuk Che Abdullah Mat Nawi (PAS-Tumpat) mengenai usaha kerajaan dalam memastikan simpanan KWSP dalam Akaun 1 mencukupi untuk menampung keperluan asas selepas persaraan.

Sebelum itu memetik laporan Bernama, Mohd. Shahar memberitahu Dewan Rakyat bahawa kerajaan juga terus meneliti kaedah-kaedah lain untuk memastikan Jaringan Keselamatan Sosial persaraan rakyat dapat kembali ke tahap sepatutnya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here