SEBUAH syarikat menjual kelengkapan komputer dan pengarahnya didenda berjumlah RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menjual kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).
Hakim Jamaludin Mat menjatuhkan hukuman itu ke atas All IT Hypermarket Sdn. Bhd. yang diwakili pengarahnya Yee Pong Pin, 62, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas beliau mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan yang dibacakan dalam Bahasa Mandarin.
Mahkamah memerintahkan OKS membayar denda RM10,000 bagi setiap pertuduhan atau menjalani hukuman penjara 12 bulan jika gagal membayar denda. OKS membayar denda itu.
Mereka didakwa telah menjual kelengkapan komunikasi iaitu seunit mikrofon jenama Joyroom yang tidak diperakui sebagaimana dikehendaki di bawah Peraturan 16(1)(b) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 yang membawa hukuman maksimum penjara enam tahun atau denda RM100,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
OKS didakwa melakukan kedua-dua kesalahan di Lot 3-01, Digital Mall, Seksyen 14 di sini pada 12.42 tengah hari 26 Jun 2020.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa MCMC, Nasrul Nizam Mohd. Zameri meminta mahkamah mengenakan denda setimpal ke atas OKS namun peguam SK Thong memohon denda ringan atas alasan anak guamnya menyesali perbuatan yang dilakukan dan akan mengambil tindakan sewajar agar kesalahan sama tidak berulang pada masa depan.
Di mahkamah sama, sebuah lagi syarikat menjual kelengkapan komputer dan pengarahnya mengaku tidak bersalah atas pertuduhan serupa.
LC Marketing Network Media Sdn. Bhd. dan Pengarahnya yang juga seorang warga China, Chen Kaiyi selaku OKS, didakwa menjual dua unit pemain media tanpa wayar jenama TX-3 yang tidak diperakui di bawah Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia 2000.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di KS-01, Digital Mall, Seksyen 14 di sini pada 12.57 tengah hari 26 Jun 2020.
Bagi kes ini, Nasrul Nizam tidak menawarkan sebarang jaminan kerana ia merupakan kes saman dan mahkamah menetapkan 23 Dis depan untuk sebutan semula kes. – Bernama
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.