Hampir 2 juta banduan dibebaskan antara 2011 hingga 2021

SEBANYAK 1,940,579 banduan telah dibebaskan dalam tempoh 2011 hingga 1 Oktober lalu, dengan pelbagai usaha dilaksana bagi memastikan golongan tersebut dilengkapi kemahiran mencukupi sebelum kembali ke dalam komuniti.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ismail Mohamed Said berkata, Jabatan Penjara Malaysia telah melaksanakan beberapa program antaranya Program Jalinan Kasih, Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL), dan Banduan Kemahiran Luar Penjara (BKLP).

“Selain itu, banduan akan mengikuti pelbagai program latihan kemahiran bersijil di dalam penjara dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja, Kementerian Sumber Manusia dengan sebahagian daripada latihan berkenaan melibatkan penyertaan banduan yang dilatih menghasilkan sendiri produk seperti tenun, songket, pastri, makanan sejuk beku, kuih raya dan perabot,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan V. Sivakumar (PH-Batu Gajah) yang ingin tahu jumlah banduan yang keluar penjara selepas tamat hukuman dari 2011 hingga 2021 serta usaha kerajaan dalam memastikan mereka diterima oleh keluarga dan masyarakat serta mempunyai keupayaan untuk menyara hidup tanpa diskriminasi. – Bernama