KPM fokus selesaikan isu guru, pengurusan sekolah dalam AKM 100 hari – Radzi

0
332

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) telah mengenal pasti dan menyusun pelbagai pendekatan bagi menyelesaikan dua isu utama iaitu membabitkan pengurusan sekolah dan kebajikan guru di bawah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) 100 hari.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata dalam menyediakan infrastruktur pendidikan yang selamat dan kondusif, pihaknya telah memohon kepada kerajaan agar dilaksanakan pemutihan tanah supaya projek menaik taraf dan pembinaan semula sekolah daif dapat dilakukan segera.

Katanya, ini penting kerana kekangan utama untuk menaik taraf dan membina semula sekolah daif di sesetengah kawasan adalah berkaitan status tanahnya yang masih belum menjadi milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP).

“Apabila ia bukan tanah PTP maka kami (KPM) tidak boleh bangunkan bangunan (sekolah) di tanah tersebut walaupun sudah ada peruntukan. Itu yang jadi banyak kelewatan (pembangunan bangunan sekolah). 

“Sebab itu kami telah mohon diadakan pemutihan tanah kerana daripada lebih 10,000 sekolah di seluruh negara sebenarnya masih ada tanah yang bukan milik PTP.

“Ada tanah milik individu, diwakafkan tanpa dokumen lengkap, milik majlis tempatan, tanah hak adat Bumiputera (NCR) dan pelbagai lagi status,” katanya dalam Program Bual Bicara Koresponden BERNAMA yang disiarkan Bernama TV, hari ini.

Radzi berkata bagi kebajikan guru pula, KPM telah menambah baik urusan pertukaran guru dengan mengguna pakai Sistem eGTukar yang membenarkan permohonan dibuat secara berterusan berbanding hanya dua kali setahun, sebelum ini.

Katanya menerusi sistem itu, pertukaran guru akan dilakukan berasaskan pada kekosongan di negeri-negeri lain dan bukan hanya tertumpu di negeri yang dipohon.

“Jadi Sistem eGTukar ini mengambil kira kebajikan guru-guru sebagai Keluarga Malaysia dan insya-Allah kita boleh lihat bahawa dalam masa akan datang, jumlah guru yang akan ditukarkan itu akan lebih meningkat,” katanya.

Sementara itu, dalam konteks pengambilan guru untuk mengisi lebih 18,000 kekosongan jawatan guru, Radzi berkata peluang itu turut ditawarkan kepada graduan di luar bidang pendidikan.

Bagaimanapun, beliau berkata setiap graduan yang dipilih perlu melalui latihan tertentu yang disediakan KPM bagi memastikan mereka kompeten untuk mengajar subjek yang ditugaskan. 

“Dalam konteks ini (pengambilan) keutamaan kami memang kepada graduan yang memiliki ijazah pendidikan tetapi disebabkan ada bekalan (graduan pendidikan) tak cukup, jadi kami buka juga pengambilan untuk mereka yang tiada ijazah pendidikan.

“Mereka akan diberi lantikan secara kontrak perkhidmatan dan latihan. Ini antara pendekatan yang kami gunakan untuk tutup jurang berkenaan (jurang kekosongan),” katanya. – BERNAMA 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here