Di saat semua terkesan, Anis Nabilah raih pendapatan tertinggi

0
22

Sejak dua tahun kebelakangan ini, ramai yang kehilangan mata pencarian dan tak kurang juga yang berhadapan dengan seribu sayu masalah akibat pandemik Covid-19 yang melanda dunia.

Namun bagi cef selebriti Anis Nabilah, 35 tahun, dia bersyukur kerana rezekinya masih ada dan pelbagai tawaran pekerjaan diterima ketika melalui fasa berkenaan.

Terbaru, dia menarik nafas lega apabila menerima Anugerah Platinum kerana menerima pendapatan tertinggi bagi tahun 2019 dan 2020 di bawah syarikat pengurusan Universal Music Malaysia.

“Saya antara selebriti di bawah pengurusan tersebut. Anugerah Platinum yang diberikan saya anggap sebagai pencapaian terbaik sejak mula bersama mereka pada 2019.

“Sejak bersama mereka memang nampak peningkatan dalam kerjaya dan jenama saya. Bukan saja dari segi pendapatan, pengikut dan nama tapi saya dapat mengukuhkan jenama sendiri sehingga ke peringkat antarabangsa,” katanya.

ANIS NABILAH

Meskipun sudah meraih pendapatan tertinggi, Anis tidak mahu terus memdabik dada dan menganggap itu sebenarnya adalah isyarat untuknya bekerja dengan lebih keras pada masa akan datang.

Namun dia percaya, pihak syarikat pengurusan sudah mempunyai perancangan terutama untuk bekerjasama dengan jenama antarabangsa yang lain.

“Bila bersama dengan mereka sebenarnya lebih memudahkan saya bekerjasama dengan pihak lain.

“Memandangkan saya cef selebriti, jadi mereka belajar selok belok kerjaya saya. Disebabkan itu, saya dapat bekerjasama dan berkolaborasi dengan banyak jenama terkenal lain.

“Pendek kata, bukan hanya nak letak muka saya saja, tapi mereka ambil tahu dari awal sampai akhir selain sokongan padu yang diberikan,” katanya.

Sepanjang bergelar cef selebriti, Anis berbangga apabila dapat bekerjasama dengan Tasty, satu jenama antarabangsa yang mengumpul kandungan masakan seluruh dunia.

Menjadi anak Malaysia pertama diberikan peluang terebut, Anis menyumbangkan dua resipi kepada Tasty selain bercadang menerbitkan buku masakan sendiri sedikit masa lagi.

“Saya sudah merancang untuk menerbitkan buku sendiri. Semoga hasil tulisan itu mampu dipasarkan ke peringkat antarabangsa seterusnya memperkenalkan masakan Asia terutamanya dari Malaysia,” tambahnya lagi. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here