Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Peniaga kedai runcit nyaris maut akibat tebing sungai runtuh -

Peniaga kedai runcit nyaris maut akibat tebing sungai runtuh

SEORANG peniaga kedai runcit nyaris maut selepas bahagian belakang rumahnya di tebing Sungai Kemasin di Kampung Kuau, di Kelantan runtuh dalam kejadian yang berlaku hari ini.

Hamzah Jusoh, 53, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 3 petang, ketika beliau sedang mengemas bahagian belakang rumahnya itu.

“Mula-mula saya nampak rekahan di simen di bahagian belakang rumah. Kemudian sedikit demi sedikit tanah tebing mulai runtuh ke dalam Sungai Kemasin.

“Saya segera masuk ke dalam rumah untuk menyelamatkan diri. Sebuah basikal serta beberapa lagi barangan tidak dapat diselamatkan,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.

Hamzah berkata anggota bomba yang melawat lokasi kejadian menasihatkan supaya beliau, isteri dan anak-anaknya mengosongkan rumah itu, yang turut dijadikan kedai runcit itu buat sementara waktu.

“Bomba beritahu tiga hingga empat bulan kena kosongkan rumah ini. Jadi kami sekeluarga dibantu penduduk kampung memindahkan barangan ke rumah adik saya yang terletak berhampiran,” katanya.

Menurut Hamzah selain kediamannya, sebuah rumah jiran yang terletak bersebelahan turut mengalami kerosakan akibat runtuhan tebing sungai itu.

Tinjauan Bernama di lokasi mendapat bomba telah meletakkan pita keselamatan di lokasi tersebut bagi menghalang orang ramai menghampiri kawasan tebing sungai.– BERNAMA