Suami dedah Nynaa 7 syarat untuk bertemu

KISAH pergolakan rumah tangga pelakon Nynaa Harizal, 25 tahun dan Mohamad Fahmi Ilyas, 29, semakin menarik apabila suaminya mendedahkan yang isterinya ada meletakkan tujuh syarat jika mahu bertemu dengannya.

Menurut Fahmi, syarat tersebut diletakkan oleh Nynaa pada 12 November lalu semasa dia menghubungi isterinya untuk menyelesaikan hal berkaitan masalah rumah tangga mereka.

“Memang benar dia ada hubungi saya pada tarikh tersebut. Saya gembira dapat dengar suaranya tapi ada perkara yang membuatkan saya tak sedap hati.

“Dia memberikan tujuh syarat jika mahu berjumpa dengannya bagi membincangkan masalah kami. Syarat pertama, nak jumpa di pejabat peguam di Johor Bahru. Kedua, saya kena datang seorang diri. Manakala ketiga, saya tak boleh rakam perbualan.

“Saya juga tak boleh bawa pemandu, tak boleh bawa bodyguard, tak boleh bawa keluarga dan media. Kata nak jumpa tapi kenapa banyak syarat? Lagipun kita suami isteri,” kata Fahmi meluahkan rasa.

Mendedahkan perkara tersebut pada dalam sidang media hari ini, kata Fahmi dia percaya semua syarat yang diletakkan oleh isterinya itu berkemungkinan daripada pihak lain yang mahu mengawal mereka.

Baginya sebagai suami isteri mereka berhak untuk berbincang dan membuat keputusan sendiri tanpa sebarang halangan.

“Kita boleh sahaja jumpa di mana-mana tempat lain, di Kuala Lumpur pun boleh. Kenapa nak kena di Johor Bharu juga? Bila ditanya, katanya dia tidak dibenarkan keluar dari Johor Bharu tapi tak boleh beritahu siapa. Masalahnya, siapa yang tak benarkan?

“Banyak tanda tanya dari pihak saya. Dia menuntut untuk bercerai secara baik tetapi apa yang berlaku ini bagaikan satu manipulasi. Mana tidaknya, nak jumpa berbincang dengan baik pun wujud syarat-syarat pelik?” tegasnya.

Sementara itu, Fahmi juga tidak menolak berkemungkinan kemelut ini berlaku melibatkan faktor kewangan namun mengaku tidak boleh menjelaskan secara terperinci mengenai hal tersebut.

“Macam mana saya nak sahkan kalau kami semua tidak betul-betul duduk berbincang? Begitu juga jika nak bercerai. Jika ternyata memang benar Nynaa berhasrat untuk bercerai, perkara itu boleh diselesaikan dengan baik jika cara yang dilakukan ini pun tidak nampak baik?

“Kalau nak cerai, saya boleh beri persetujuan jika dia sendiri berjumpa dengan saya dan selesaikan isu ini dengan tertib.

“Semua bukti perbualan sepanjang tempoh sebelum dan selepas kejadian saya ada simpan. Tapi tak dapat nak dedahkan sekarang atas nasihat peguam,” tambahnya.

Pada Khamis, Nynaa hadir ke Mahkamah Syariah Johor Bahru menuntut cerai daripada suaminya dan menyatakan dia selamat di bawah jagaan keluarganya serta mengatakan tidak diculik seperti mana didakwa. – SB