OPERASI mencari tiga nelayan yang dikhuatiri hilang selepas bot dinaiki mereka dilaporkan karam di perairan Pulau Talang, Pantai Remis malam tadi diperluaskan sehingga 42.3 batu nautika persegi.
Pengarah Maritim Malaysia Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, keadaan laut bergelora dengan ketinggian ombak antara satu hingga 2.7 meter dan cuaca tidak menentu di lokasi kejadian menyukarkan operasi mencari dan menyelamat (Carilamat).
“Setakat ini, bot yang berpangkalan di jeti Pantai Remis itu masih belum ditemui. Operasi akan diteruskan sehingga jam 7.30 malam ini dan akan bersambung bermula 7 pagi esok sekiranya mangsa masih tidak ditemui,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Shahrizan berkata, kejadian yang menimpa tiga mangsa berusia 29 hingga 70 tahun itu berlaku kira-kira pukul 9 malam tadi.
Susulan itu, Carilamat diaktifkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas menerima maklumat daripada Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi, dengan mengerakkan anggota dan bot Perkasa 1223 dan Kilat 11 ke lokasi untuk tindakan lanjut.
Katanya, seorang mangsa sempat menghubungi isterinya dan memaklumkan keadaan bot dinaiki mereka hampir karam.
“Maklumat sama turut disalurkan kepada Markas Pemerintahan Armada Barat Lumut, Pasukan Polis Marin Kampung Acheh, dan ‘Maritime Component Operation Comander’ (MCOC),” katanya.
Beliau menasihatkan komuniti maritim mengutamakan keselamatan semasa berada di laut dengan sentiasa memakai jaket keselamatan memandangkan keadaan cuaca kurang baik.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.