My Jet sumbang RM47,000 kepada petugas barisan hadapan tanda hargai jasa mereka

JASA dan pengorbanan petugas barisan hadapan terus dihargai oleh pelbagai pihak.

Terkini di Kota Kinabalu, Sabah, syarikat kargo My Jet Xpress Airlines Sdn. Bhd. (MyJet) telah menyumbang wang tunai berjumlah RM 47000 kepada mereka yang datang dari pelbagai agensi yang berkhidmat sepanjang perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri itu baru-baru ini.

Menurut pengerusi Eksekutif My Jet, Mohamed Yunos, sumbangan itu disalurkan sebagai tanda penghargaan ke atas jasa serta pengorbanan petugas barisan yang meletakkan kepentingan dan keselamatan kesihatan orang ramai mengatasi diri sendiri.

“Tanpa bantuan dan pengorbanan mereka, My Jet tidak akan mampu berkembang pesat dalam tempoh pandemik.

“Tanpa petugas barisan hadapan pastinya pertumbuhan My Jet akan terbantut kerana ramai juga dalam kalangan petugas kami yang telah dijangkiti wabak Covid-19,” kata kata beliau di majlis penyampaian sumbangan tersebut pada malam Jumaat.

Tambah beliau, peranan yang diberikan petugas hadapan dalam memastikan keadaan terkawal Dan kembali selamat seharusnya dihargai dan disanjung oleh semua pihak.

Oleh itu,beliau menyatakan pihak My Jet akan sentiasa menghargai dan menghulurkan sumbangan kepada  petugas barisan hadapan sebagai tanda penghargaan. 

Dalam majlis itu juga , MyJet turut berbesar hati menyumbangkan sumbangan berjumlah RM 20000 kepada anak-anak yatim dari Madrasah Waqaf Islamiah Sabah.

Turut hadir, Pembantu Ketua Menteri Sabah, Datuk Abidin Madingkir, Ketua Pegawai Eksekutif MyJet, Azrul Hisham Abdul Wahab dan Alan Ng, Pengarah KLN Malaysia.

Dalam pada itu di majlis yang sama, Mohamed memaklumkan kepada media My Jet kini memeterai kerjasama dengan syarikat perkhidmatan logistik antarabangsa, Kerry Logistics Network bagi operasi penerbangan kargo eksklusif untuk laluan pergi-balik Kota Kinabalu (BKI) dan Macau (MFM).

Syarikat berkenaan sebelum ini mencatat lebih 200 penerbangan sejak dilancarkan pada Mac 2021 telah membantu memendekkan masa penghantaran barangan berbanding menggunakan perkhidmatan perkapalan.

Mohamed menjelaskan, kerjasama ini adalah berikutan peningkatan dari sektor e-dagang yang memerlukan proses penghantaran lebih cepat.

“MyJet berperanan dalam industri kargo dan KLN dalam bidang logistik, kerjasama ini perlu bagi melancarkan penghantaran memandangkan jarak antara Kota Kinabalu dan China lebih dekat.

“Tidak ada perbezaan yang ketara dari segi kos operasi menggunakan laluan udara atau laut namun dari segi masa, lebih jimat menggunakan laluan udara” katanya.

Tambahnya, MyJet bakal menambah 2 buah pesawat kargo dari jenis Boeing 737-300F dan Boeing 737-800F dengan pelaburan sebanyak RM100 juta. Ini membawa jumlah keseluruhan untuk operasi tempatan sebanyak 6 buah pesawat.

“Kami akan menambah 2 pesawat baru untuk operasi di Malaysia, 1 pesawat bagi operasi di Filipina dan 2 pesawat lagi di Indonesia.

“Berhadapan lonjakan permintaan semasa, kami bakal menambah lebih kurang 4 perjalanan baru ke Shandong, Wuhan, Xiamen dan Shenzen seterusnya dari Kuala Lumpur ke India” jelasnya pada sidang media di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah.