ENGGAN lagi dikenali dengan nama Adam AF sebaliknya mahu dipanggil dengan nama Pangiran Adam merupakan antara perkara yang ditekankan oleh baru-baru ini.
Jelasnya, dia mempunyai alasan dan sebab tersendiri mengapa mahu menggunakan nama tersebut sebagai tanda ‘kelahiran semula’ ke dalam bidang seni.
“Bagi saya Adam sudah tiada lagi dalam industri seni. Saya mahu sesuatu yang fresh dan baharu sesuai dengan keadaan semasa.
“Nama Pangiran itu pula adalah nama keturunan. Lebih baik saya gunakan nama keluarga sendiri,” tegasnya.
Bagi golongan anak seni, mengubah nama pentas bukanlah sesuatu yang asing. Beberapa artis besar sebelum ini pernah juga menukar nama atau pun ejaan dengan alasan tertentu.
Baginya, perkara ini bukanlah sesuatu yang janggal dan dia juga tidak kisah dengan tanggapan peminat terhadap perubahan tersebut.
Seperti mana yang diketahui ramai, perubahan hidup penyanyi ini begitu menarik untuk diikuti. Turun naik kerjaya dan kisah peribadi melatari perjalanannya selama ini.
Pun begitu, dia yang kini lebih banyak mendekatkan diri dengan Allah menganggap apa yang terjadi selama ini adalah pengajaran dan pelajaran untuk menjadi lebih dewasa.
Bercerita mengenai kehidupan peribadi pula, Pangiran Adam mengakui hidupnya kini baik-baik sahaja meskipun masih bergelar duda.
“Tidak ada istilah serik dalam perkahwinan. Kalau ada jodoh, esok pun boleh kahwin. Saya pun dah lama menduda sampai sekarang masih mencari.
“Tapi kalau jodoh tu belum datang, saya tunggu sahajalah. Soal jodoh dan ajal kan di tangan Allah, kita harap yang baik-baik sahajalah,” katanya yang mengaku sudah putus cinta dengan seorang wanita baru-baru ini.
Terdahulu Pangiran Adam atau nama sebenarnya Mohd Aizam Mat Saman, 38 pernah berkahwin dengan Fiza Halim pada September 2013 dan bercerai April 2014.
Pasangan ini kembali rujuk pada tahun yang sama sebelum memilih untuk bercerai kali kedua pada Disember 2015.
Sepanjang perkahwinan, mereka tidak dikurniakan cahaya mata. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.