CUBAAN seorang remaja yang didakwa memecah masuk sebuah kereta dan mengambil barang di dalam kenderaan itu gagal apabila perbuatannya dirakam orang ramai.
Kejadian itu dipercayai berlaku di Alor Setar, Kedah dan dirakam seorang pemandu lain yang berada berhampiran tempat kejadian.
Video berdurasi 44 saat itu mula tular di media sosial sejak semalam, selepas rakaman yang dimuat naik di platform Tiktok mula dikongsi netizen.
Berdasarkan rakaman video yang dimuat naik oleh pemilik akaun @MummyNadim, kelihatan seorang remaja lelaki memberhentikan basikalnya di tepi sebuah kereta jenis Proton Wira yang diletakkan di tempat letak kenderaan di tepi jalan.
Remaja itu dilihat membetulkan rambutnya menggunakan cermin kereta dan pada masa sama dikatakan meninjau barangan yang ditinggalkan pemiliknya di dalam kenderaan.
Suspek dilihat melakukan sesuatu yang mencurigakan dan membuka pintu depan di bahagian pemandu.
Namun, sebaik saja dia masuk ke dalam kenderaan, perakam video yang berada di dalam kenderaan lain terus menghalang dan mengertak suspek.
“You (awak) buat apa?. Ini kereta siapa?,” tanya saksi kejadian sambil terus merakam video. Remaja itu kelihatan terkejut dan mendakwa kereta itu milik rakannnya.
Namun, apabila ditanya di mana rakan (pemilik kereta) yang dimaksudkan, remaja itu tergagap-gagap memberikan jawapan.
Tindakan berani perakam video ini telah mendapat pujian oleh orang ramai di Tiktok yang menyifatkannya sebagai seorang individu yang bertanggungjawab.
”Terbaik bro. bukan rakam sahaja. terus bertindak. terbaik la..”. kata @nakano455.
”Abang ni bagus ambik bukti sebelum bertindak.. kalau bertindak dulu nanti jadi salah faham.” kata @Portgas D. Acap. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.