PELANGGAN sebuah kedai kopi di Kampung Bukit Apit, Melaka bersyukur apabila menerima pemeriksaan kesihatan secara percuma oleh calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau, Dr Nordina Abdul Latif yang secara kebetulan menikmati sarapan di situ.
Insan bertuah, Wan Salam Wan Abas, 69, memang tidak menyangka dia bertemu dengan calon berkenaan ketika menikmati sarapan di situ.
“Saya tidak sangka wanita itu seorang doktor dan calon di DUN Ayer Limau, tetapi selepas berbual barulah saya tahu perkara berkenaan.
“Alhamdulillah, dia sudi memeriksa kesihatan selepas beritahu penyakit darah tinggi dan kencing manis yang saya alami,” katanya, memetik laporan PNonline.net hari ini.
Baca berita berkaitan: [VIDEO] Calon PN DUN Ayer Limau Dr. Nordina
Sementara itu, Dr Nordina, 40, berkata dia hadir ke warung itu bukan untuk berkempen secara bersemuka, sebaliknya berhenti seketika untuk menikmati sarapan ketika dalam perjalanan ke Alor Gajah.
Katanya, larangan kempen secara bersemuka oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak harus dilanggar, tetapi permintaan Wan Salam untuk membuat pemeriksaan tekanan darah tidak harus ditolak begitu saja.
“Saya berhenti sekejap di warung ini untuk bersarapan dan tidak menyangka bertemu dengan Pak Cik Wan Salam yang menghidap darah tinggi dan kencing manis.
“Apabila dia mengadu kurang sihat sejak bangun tidur pagi tadi, saya menawarkan perkhidmatan untuk memeriksa kesihatannya,” katanya yang pernah berkhidmat sebagai pegawai perubatan di Klinik Kesihatan Lubok Cina sejak 2007.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Dr Nordina yang mewakili Perikatan Nasional (PN) berdepan calon Pakatan Harapan (PH), Mazenah Baharuddin dan Datuk Hameed Mytheen Kunju Basher daripada Barisan Nasional (BN).
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, kerusi DUN Ayer Limau dimenangi oleh Datuk Amiruddin Yusof daripada BN dengan majoriti undi 1,479. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.