TIDAK ada sebab untuk menolak Datuk Mas Ermieyati Samsudian sebagai wakil rakyat bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini.
Veteran Pas, Abdul Malek Bachik, 63, berkata, ini berdasarkan pengalaman dan penilaian ketika calon Perikatan Nasional (PN) DUN Tanjung Bidara itu berada di dalam blok berbeza .

“Dari segi percampuran dia bagus. Walaupun dulu dia tahu kita PAS, apa yang kita minta dapat. Dia tidak mengira parti pada masa itu, bila dah bersama lagi lah,” katanya ketika ditemui SatuBerita baru-baru ini.
Baca berita berkaitan: [VIDEO] Calon PN DUN Tanjung Bidara Mas Ermieyati
Baca berita berkaitan: [VIDEO] Mas Ermieyati mahu kembalikan populariti Tanjung Bidara pusat pelancongan negara
Untuk rekod, pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2013 dan 2018, Mas Ermieyati bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) menentang calon Pakatan Harapan (PH) yang disokong PAS ketika itu.
Menurut Abdul Malek, selepas kemenangan pada kedua-dua pilihan raya itu Mas Ermieyati tidak menyisihkan mereka dari PAS dalam soal agihan bantuan.
“Satu lagi, dia memang rajin turun padang, itu bagus dia tu,” katanya.

Atas keyakinan dan sikap terbaik ditunjukkan Mas Ermieyati sebagai wakil rakyat, Abdul Malek yang menganggap dirinya sebagai penyokong ‘totok’ PAS tidak mengambil masa lama untuk membenarkan kawasan rumah dan kedai di Kampung Pasir Gembir sebagai pusat operasi Pusat Daerah Mengundi (PDM) PN.
“Saya tidak kisah apa yang diperkatakan orang terhadap lawan dia, yang lebih penting adalah untuk memenangkan Mas Ermieyati,” katanya.
Bergiat aktif bersama PAS sejak usia 15 tahun lagi, Abdul Malek berkata, penduduk setempat menyambut baik pemilihan Mas Ermieyati sebagai calon kerana tahu dia adalah pemimpin sebenar untuk rakyat di sini.
Mengenai kerjasama antara PAS dan parti lain dalam gabungan Perikatan Nasional ia berada pada tahap terbaik bagi memastikan kelancaran kempen.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.