Bajet 2022: Muhyiddin cadangkan lima penambahbaikan

PEMULIHAN negara di era pasca Covid-19 bukan hanya bermakna membawa negara kembali kepada kedudukan asal sebelum pandemik.

Justeru, Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan lima penambahbaikan dilakukan terhadap penyaluran peruntukan yang telah dicadangkan dalam pembentangan Belanjawan 2022 apabila ia dilaksanakan kelak.

Menurut beliau penambahbaikan itu melibatkan aspek transformasi sistem kesihatan awam; memperkasa sektor pendidikan; jaminan peluang pekerjaan; penstrukturan semula bantuan kerajaan dan inisiatif mengekal dan meningkatkan pelaburan asing.

“Malaysia perlu agresif meneroka potensi industri farmaseutikal untuk meningkatkan keupayaan Malaysia dalam menghasilkan ubat-ubatan berasaskan kekayaan sumber asli tempatan termasuk herba.

“Langkah ini akan dapat mengurangkan kebergantungan ubat-ubatan import dan meningkatkan akses ubat-ubatan untuk semua,” kata Muhyiddin ketika perbahasan belanjawan 20 22 di Dewan Rakyat pada Rabu.

Selain itu, beliau menyarankan galakan pelaburan dalam bidang Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) yang melibatkan institusi tempatan seperti Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) juga perlu dipertingkatkan.

Ujar bekas perdana menteri itu, kerajaan wajar memperuntukkan sejumlah dana yang mencukupi bagi membiayai intervensi kesihatan terhadap penyakit jarang jumpa (rare diseases) termasuk pembiayaan ubat-ubatan orphan medicines.

Di bawah pelan induk kesihatan tersebut, program khusus pembangunan vaksin melalui Institut Genom dan Vaksin Malaysia mesti diwujudkan bagi meningkatkan kesiapsiagaan kesihatan awam negara dalam menghadapi sebarang ancaman pandemik pada masa akan datang.

Sistem penjagaan kesihatan juga perlu memberi tumpuan kepada aspek penjagaan kesihatan mental untuk mewujudkan sistem sokongan yang kukuh kepada rakyat terutamanya kumpulan yang menghadapi masalah tekanan kerja yang serius seperti frontliners iaitu petugas barisan hadapan kesihatan dan keselamatan serta guru.

Menyentuh mengenai pemerkasaan sektor pendidikan, Muhyiddin menyarankan agar diadakan satu Program Khas (Catch up) peringkat nasional diperkenalkan khusus bagi membantu pelajar di sekolah atau Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang tercicir sepanjang tempoh pandemik sama ada secara hybrid atau bersemuka mengikut kesesuaian pihak sekolah, universiti, guru dan pelajar.

“Di bawah Catch-up Programme, pihak sekolah perlu mengenal pasti pelajar yang tertinggal untuk diberi tumpuan mengikuti kelas intensif bagi menggilap semula pembelajaran mereka dan memupuk semangat untuk mencatat keputusan yang baik dalam pelajaran.

“Untuk menjayakan program ini, pihak guru dan sekolah perlu diberikan sokongan seperti penyediaan kemudahan peranti, gajet dan internet serta sokongan moral yang kukuh untuk menangani masalah pelajar yang ketinggalan,” jelas beliau.

Muhyiddin dalam masa yang sama turut menyarankan kerajaan mewujudkan sistem pengurusan bantuan yang bersifat “end-to-end process” dan automatik yang mana bantuan boleh terus dimasukkan ke akaun penerima bantuan dalam kadar segera sekiranya berlaku bencana, musibah, kehilangan kerja atau jatuh di bawah kategori miskin dan miskin tegar.

Langkah itu perlu diwujudkan sekali dengan dasar graduasi bantuan atau Exit Policy bagi membolehkan penerima dibantu dalam jangka masa tertentu sehingga mereka mampu berdikari dan tidak bergantung kepada bantuan dalam tempoh yang agak lama.

Dalam pada itu Muhyiddin juga menyarankan, kerajaan memberi fokus menarik lebih banyak pelaburan baharu berteknologi tinggi dan teknologi hijau untuk jangka masa pendek dan panjang.

“Untuk itu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri bersama-sama kementerian lain yang berkaitan perlu menggiatkan misi pelaburan ke luar negara di samping meningkatkan kerjasama perdagangan serantau dan global,” kata beliau.

Seiring dengan perubahan landskap pekerjaan, Muhyiddin menyarankan kerajaan memberi penekanan terhadap bidang-bidang kemahiran baharu dalam usaha melahirkan pekerja berkemahiran tinggi terutama yang berteraskan transformasi digital.

“Dalam hal ini, penglibatan agensi seperti HRD Corp dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) perlu ditingkatkan selain penyediaan latihan reskilling dan upskilling yang komprehensif.

“Inisiatif ini perlu dilaksanakan dengan penuh komitmen agar ia dapat memberi impak positif terutamanya bagi kumpulan yang paling terkesan seperti belia, siswazah menganggur dan pekerja yang hilang punca pendapatan sepanjang pandemik. Mereka ini mesti dibantu,” katanya.

Kata beliau, Covid-19 telah mengakibatkan ramai dalam kalangan rakyat khususnya kumpulan M40 dan B40 yang terjejas pendapatan sehubungan itu, beliau berharap segala bantuan yang sewajarnya, yang telah diumumkan dalam Belanjawan 2022 dapat disalurkan terus kepada sasaran.

Tegas beliau, langkah ini amat penting bagi memastikan golongan yang terkesan ini dapat dibantu segera dan tidak dibiarkan merana.